TFC tewas kerana psikologi, pemain kurang agresif kejar bola?

APA sudah jadi dengan prestasi dan semangat para pemain skuad Terengganu FC (TFC), kenapa terlalu cepat mengalah?

Begitulah antara pertanyaan demi pertanyaan diluahkan oleh para peminat dan penyokong bola sepak Terengganu sebaik sahaja skuad tersebut tewas 1-3 kepada Johor Darul Ta’zim dalam perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil malam semalam.

Keputusan tersebut sekaligus meleburkan impian peminat dan penyokong Terengganu untuk menyaksikan Piala FA edisi 2022 berjaya di bawa pulang ke bumi Penyu selepas 11 tahun berlalu.

Dalam perlawanan yang berlangsung malam semalam kesemua pemain pada awalnya turun dengan semangat kental, namun dilihat longlai dan kurang bermaya sehingga bolos tiga gol, iaitu jumlah jaringan agak besar bagi satu-satu perlawanan di peringkat final.

Walaupun terdapat pengulas sukan memuji persembahan ditunjukkan para pemain muda TFC, namun ia berlainan pula dengan penerimaan peminat dan penyokong TFC.

Malah, banyak pihak menyifatkan aksi yang ditunjukkan oleh para pemain TFC malam tadi seakan tidak bermaya dan tidak konsisten sehingga menampakkan jurang berat sebelah.

Selain itu, aksi pemain juga banyak yang gagal menutup ruang menyebabkan mereka bolos tiga kali, manakala fungsi jentera tengah pula seakan lumpuh.

Begitu juga dengan penjaga gol TFC, Rahadiazli Rahalim yang dikatakan gagal membaca pergerakan pemain lawan ketika tewas gol pertama.

Tindakan Rahadiazli meninggalkan posisi jauh ke hadapan membawa padah apabila pada minit 34 gawangnya dibolosi.

Bagaimanapun, pengulas sukan Ahmad Shahrul Azhar yang juga merupakan bekas pemain kebangsaan percaya penjaga gol muda tersebut mempunyai masa hadapan lebih cemerlang sekiranya terus di beri peluang beraksi.

“Usah bimbang dan kecewa, kita berharap akan terus dapat melihat kelibat penjaga gol muda ini dalam aksi final akan datang” ulas beliau.

Bagi pengendali TFC Nafuzi Zain pula terpaksa akur dengan kekalahan tersebut memandangkan jurang kualiti cukup jauh antara pemain Skuad Penyu dengan JDT menjadi punca pasukannya kempunan untuk menjulang Piala FA 2022.

Namun, beliau berbangga kerana anak buahnya yang masih muda mendapat pengalaman berguna bagi membantu mengembangkan prestasi dan karier masing-masing.

Ini kerana dalam perlawanan tersebut, TFC menyenaraikan ramai pemain muda manakala JDT pula dibarisi pemain berpengalaman dan sudah acap kali beraksi di perlawanan akhir.

Bagi penulis, dalam sesuatu perlawanan bola sepak, selain teknikal dan taktikal perkara utama perlu diserap dan ditekankan juga kepada pemain ialah melibatkan motivasi dan psikologi.

Ia penting kerana ia sekurang-kurangnya dapat mengatasi masalah tekanan apatah lagi ketika berhadapan dengan sebuah pasukan lebih bagus seperti JDT.

Malah, penulis masih ingat pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) suatu ketika dahulu pernah mengambil pendekatan ini di mana antara penceramah motivasi ketika itu ialah Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail.

Apapun, walaupun gagal merangkul juara Piala FA, penulis berharap semua pihak sama ada pengurusan, pemain, peminat dan penyokong setia TFC dapat menerima keputusan ini dengan hati terbuka.

Malah kemaraan sehingga ke peringkat final merupakan suatu perkara amat membanggakan.

Jadikanlah keputusan ini sebagai suatu pengalaman terbaik untuk meneruskan perjuangan akan datang, khususnya dalam aksi Liga Super di samping harapan langkahan ke final Piala Malaysia.

Tidak mustahil TFC akan kembali bertemu dengan JDT dalam aksi final Piala Malaysia pula?

Penulis juga ingin melihat suatu hari nanti lebih ramai pemain Penyu berjaya menyarung jersi pasukan kebangsaan sepertimana pernah dibuktikan antaranya seperti Yahaya Jusoh, Zulkifli Hamzah, Yunos Alif, Abdah Alif, Zuber Ibrahim, Mubin Mokhtar, Ariffin Osman, Marzuki Yusof dan Zulharisham Awang.

Dalam aksi Piala FA malam tadi, JDT memperoleh gol awal menerusi pemain kebangsaan berusia 20 tahun, Arif Aiman Hanapi, dan pemain import kelahiran Brazil, Bergson Da Silva.

Arif Aiman dengan tenang menggunakan kaki kirinya untuk gol sulung perlawanan pada minit ke-34.

Sementara gol kedua JDT dijaringkan oleh Bergson pada minit ke 63 menerusi sepakan penalti setelah dia diterjah oleh Rahadiazli.

Gol saguhati TFC pula diperoleh pada minit ke 76 menerusi jaringan Tchetche Herman sebelum Bergson menjaringkan gol pemusnah pada minit ke 78 menjadikan kedudukan 3-1.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *