VIETNAM mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang mengkritik kerajaan termasuk seorang penjual mi dari bandar Danang yang ditahan berhubung video tular dianggap menyindir pegawai tertinggi kerajaan.
Tindakan Bui Tuan Lam, 38, membuat parodi aksi chef selebriti Turkiye, Nusret Gokce atau lebih dikenali sebagai Salt Bae, membawa padah apabila dia ditangkap kerana propaganda antinegara.
Menurut kenyataan polis, penahanan Tuan Lam Rabu lalu kerana dia memuat naik kandungan dalam talian yang mengganggu garis panduan dan dasar parti pemerintah.
“Tuan Lam juga seorang ahli pertubuhan kemasyarakatan awam yang dianggap kumpulan antikerajaan,” kata polis mendakwa kerap kali memberi amaran kepada peniaga itu kerana menghina pemimpin dan mencemarkan reputasi mereka.
Dalam keterangannya, Tuan Lam menafikan tindakannya menyindir menteri. Cubaan menghubungi peniaga berkenaan Khamis lalu juga gagal.
Tahun lalu, dia dipanggil memberi keterangan polis susulan parodi Salt Bae yang dilihat sindiran kepada menteri kerajaan yang menikmati stik bersalut emas 24 karat berharga AS$1,725 (RM7,759).
Harga menu itu bagaimanapun mencetuskan kritikan banyak pihak berikutan penduduk di Hanoi kebanyakannya hidup dalam kemiskinan.
Selain itu, pengguna media sosial juga mempertikaikan harga stik terbabit yang didakwa jauh lebih mahal berbanding gaji bulanan yang diterima menteri antara AS$600 (RM2,698) dan AS$800 (RM3,598).
Parodi ‘Green Onion Bae’ itu dimuat naik beberapa hari selepas Menteri Keselamatan Awam, Jeneral To Lam menjamu selera hidangan mewah terbabit di sebuah restoran di London.
Isteri Tuan Lam mengesahkan suaminya diberkas pihak berkuasa minggu lalu, malah pihak berkuasa turut kembali semula untuk menggeledah rumah mereka.
Sementara itu, sebuah badan pemantau Human Right Watch berpangkalan di New York menggesa polis membebaskan Tuan Lam segera dan berhenti mengambil tindakan terhadap orang ramai yang menzahirkan pandangan mereka.
Leave a Reply