muda pru-15 perak

Pelajar IPT bingung hala tuju Muda, anggap masih samar

PELAJAR institut pengajian tinggi berharap parti Muda dapat menggariskan hala tuju dan ideologinya dengan lebih jelas yang dianggap masih samar.

Beberapa penuntut ditemu bual FMT mengakui bingung dengan identitinya dan hanya mengenali Muda kerana diketuai Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang sering tampil di media sosial mengenakan kemeja-T parti.

Pelajar sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Alif Fahmi, 23, berkata dia melihat Muda sebagai parti bersifat populis yang setakat ini tidak mengambil sebarang langkah sebenarnya bagi menyelesaikan masalah rakyat.

“Niat Muda memang hendak selesaikan masalah rakyat tetapi sejauh mana tidak pasti, apabila harga barang naik mereka buat perhimpunan…langkah seterusnya tidak tahu,” katanya yang mengakui Muda berjaya menarik pengundi muda terutama di bawah kategori Undi18.

“Contohnya, pada program Dewi Remaja ada soalan mengenai parti politik, Muda menjadi nama pertama disebut berbanding Pakatan Harapan (PH),” jelas Alif.

Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Ahmad Azhan, 26, pula berkata dia hanya mengetahui parti itu mewakili berbilang kaum, namun tidak tahu hala tuju sebenarnya.

“Saya nampak parti ini berbilang kaum kerana majlis tertinggi pun melibatkan bukan Bumiputera.

“Tindakan Muda sendiri buatkan saya kurang jelas dengan hala tuju parti,” kata pelajar sosiologi dan antropologi itu.

Sementara itu, pelajar Kolej Poly-Tech Mara Bangi dikenali Mohd Zahir berkata dia hanya mengetahui Syed Saddiq sebagai presiden parti berkenaan.

“Sebab saya selalu nampak di media sosial Syed Saddiq menyarung baju Muda,” katanya.

Muda didaftarkan secara rasmi oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan pada 23 Dis tahun lalu dan kali pertama bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Johor, Mei lalu.

Parti itu secara rasmi memohon menyertai PH pada 9 September lalu, yang mendapat reaksi berbeza dalam kalangan komponennya.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook menyambut baik hasrat Muda dan menyatakan permohonan itu akan dibincangkan secepat mungkin oleh Majlis Presiden PH.

Timbalan Ketua Penerangan PKR Razeef Rakimin pula berkata Majlis Presiden PH perlu mengambil keputusan bijak dan tidak ‘memikul’ pihak yang hanya akan menjadi liabiliti dengan mengambil iktibar situasi PRN Johor serta beberapa kenyataan angkuh pemimpin Muda.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *