KPM selesaikan 30 peratus isu pemilikan tanah tapak sekolah 

HAMPIR 30 peratus pemilikan tanah daripada lebih 2,000 tapak sekolah bermasalah di seluruh negara sudah diselesaikan.

Ia dilakukan Kementerian Pendidikan (KPM) melalui proses pemutihan ke atas pemilikan tanah yang digunakan untuk pembinaan sekolah di seluruh negara.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, berkata semakan mendapati ada pembayaran premium bagi sesetengah tanah berkenaan sudah diselesaikan sejak 1980-an, namun kerajaan belum menerima geran daripada pemilik asal, menyebabkan pemilikan tidak ditukar.

“Berikutan itu, projek dirancang kerajaan tidak dapat diteruskan.

“KPM sudah selesaikan hampir 30 peratus. Bila saya masuk ke KPM, kita cuba memahami masalah asal mengapa projek (pembangunan) sangkut dan kita dapati antara komponen yang ada adalah isu membabitkan pemilikan tanah belum selesai.

“Kami putuskan untuk melakukan pemutihan tanah ini dan ia dilaksanakan di seluruh negara, membabitkan lebih 10,000 sekolah.

“Daripada jumlah itu, lebih 2,000 sekolah berdepan masalah status tanah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Transformasi Pendidikan: Infrastruktur Pendidikan yang Selamat dan Kondusif, di Sekolah Alam Shah, memetik laporan BH Online.

Beliau berkata, ada isu membabitkan tanah diwakafkan pemilik sudah lama meninggal dunia tanpa pemindahan hak milik tanah teratur, menyebabkan timbul masalah.

Justeru, Radzi berkata, KPM bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menyelesaikan semua masalah berkaitan pemilikan tanah terutama yang sudah selesai pembayaran sewajarnya.

“Ia bagi memastikan semua perkara berbangkit tidak wujud pada masa depan dan pembinaan sekolah serta bangunan baharu dapat dilaksanakan dengan teratur.

“Kita mahu menyusun sistem ini bagi memudahkan perancangan masa depan,” katanya.

Ketika di Parlimen bulan lalu, Radzi memaklumkan KPM sedang menjalankan proses pemutihan ke atas pemilikan tanah yang digunakan untuk pembinaan sekolah di seluruh negara.

Ia susulan banyak pemilikan tanah membabitkan pembinaan sekolah KPM yang sudah, sedang dan akan dilaksanakan dikenal pasti bukan milik Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) atau kerajaan.

Beliau dilaporkan berkata, proses pemutihan perlu dibuat bagi memastikan semua pemilikan tanah bagi pembinaan sekolah seliaan KPM adalah milik JKPTG atau kerajaan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *