SEORANG pembantu rumah warga asing kini menjadi buruan polis selepas disyaki melarikan barang kemas milik majikannya dianggarkan bernilai sehingga RM69,000 dalam kejadian di sebuah rumah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek berusia 27 tahun itu dilihat keluar dari rumah berkenaan kira-kira pukul 1 pagi sebelum melarikan diri menaiki sebuah kereta.
Tambah beliau, majikan suspek kemudian membuat laporan polis selepas menyedari kehilangan pembantu rumah terbabit kira-kira pukul 6 pagi hari sama tanpa menyedari barangan kemas milik mereka turut dilarikan.
Jelasnya, antara barangan kemas yang didapati hilang ialah dua pasang gelang bernilai RM12,000; satu set rantai (RM22,000) dan rantai kahwin (RM15,000).
Turut dilaporkan hilang ujar beliau, empat pasang subang emas kecil bernilai RM6,000; dua utas rantai kecil (RM3,000) serta sebuah loket dan seutas rantai panjang masing-masing bernilai RM1,000 dan RM10,000.
“Barang kemas itu disimpan di dalam sebuah almari yang berkunci, namun tiada sebarang kesan umpil pada almari tersebut,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Cheng San menambah, ketika kejadian mangsa berada di rumah bersama dua anak, namun tidak menyedari kehilangan barangan kemas itu yang disimpan di dalam bilik berasingan.
Sehubungan itu ujarnya, susulan kehilangan barang kemas tersebut mangsa kemudian membuat satu lagi laporan polis Khamis lalu di Balai Polis Bukit Mertajam.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan kita meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian ini menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Shuhaimi Ismail di talian 019-2909231,” katanya.
Leave a Reply