13 kenderaan polis di IPK Kedah terbakar

Oleh BADLISHAH MAT

SEBUAH bengkel kenderaan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini terbakar dalam satu kejadian pagi tadi sehingga memusnahkan sebanyak 13 unit kenderaan milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, kebakaran terbabit turut memusnahkan pejabat pentadbiran pengangkutan serta kelengkapan dan peralatan di kedua-dua premis itu dalam kejadian pada 4.45 pagi.

“Kejadian itu tidak melibatkan sebarang kecederaan atau pun kehilangan nyawa dan punca kejadian masih belum dikenal pasti.

“Anggaran kerugian juga masih dalam siasatan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba II Ahmad Naufal Abdullah memaklumkan, setiba pasukannya ke lokasi kejadian, api didapati sedang marak.

“Pegawai dan anggota terlibat kemudian diarahkan untuk memakai alat pernafasan sebelum melakukan usaha pemadaman menggunakan lapan aliran hos.

“Setelah beberapa lama, kebakaran di bangunan berkeluasan 35×150 kaki itu berjaya dipadamkan. Anggaran peratusan kebakaran dianggarkan sebanyak 80 peratus,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *