KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA) terus melaksanakan pelbagai agenda untuk masyarakat Orang Asli menerusi peruntukan sebanyak RM274 juta.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, menerusi peruntukan tersebut, JAKOA turut meningkatkan bakat baru dalam bidang sukan sekali gus mampu melahirkan atlet untuk negeri dan negara dalam pelbagai kejohanan pada masa hadapan.
“Penganjuran karnival sukan ini membuka peluang kepada belia dan beliawanis Orang Asli terlibat secara langsung dalam bidang sukan selain merapatkan hubungan silaturrahim antara masyarakat Orang Asli melalui sukan,” katanya, hari ini.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Karnival Orang Asli Peringkat Kebangsaan di Universiti Islam Antarabangsa, Kampus Indera Mahkota, Kuantan.
Turut hadir, Ketua Pengarah JAKOA, Sapiah Mohd Nor.
Abdul Rahman menjelaskan, karnival yang diadakan itu juga mampu untuk dijadikan sebagai medan dalam menghasilkan atlet-atlet yang berpotensi untuk diketengahkan pada temasya sukan sama ada pada peringkat negeri atau kebangsaan seperti SUKMA.
“Kita tahu corak kehidupan Orang Asli ini yang banyak tinggal di kawasan pinggir bandar dan di dalam hutan selain sering berjalan kaki serta menggunakan kudrat untuk aktiviti pertanian dan sebagainya mampu untuk membentuk stamina yang luar biasa di kalangan kaum-kaum lain.
“Hasrat kita adalah untuk menjadikan karnival ini sebagai satu lonjakan untuk belia dan beliawanis terlibat secara serius dalam bidang sukan selain mampu mewakili negeri masing-masing dalam kejohanan yang besar”, kata beliau lagi.
Karnival yang dianjurkan selama dua hari itu mempertandingkan acara seperti bola sepak, bola jaring, sepak takraw dan menyumpit.
Seramai 535 orang atlet dan jurulatih serta urus setia yang terlibat sepanjang penganjuran karnival sukan berkenaan.
Sementara itu, Abdul Rahman berkata, seramai tiga atlet Orang Asli berjaya meraih kejayaan di persada sukan antarabangsa sehingga kini.
Atlet tersebut adalah Zumika Azmi, 19 dan Sasha Azmi,17 dari suku kaum Temiar di Gua Musang Kelantan yang aktif bersukan sejak dari sekolah sehingga berjaya mewakili Malaysia dalam sukan kriket.
Seorang lagi atlet ialah Norashikin Mohamad Sayed, Orang Asli pertama yang mewakili negara dalam Sukan Layar dan merupakan pemenang pingat perak Sukan Asia China 2010.
“Dia juga pemenang pingat emas Kejohanan Kapal Layar Asia di China 2010, pingat gangsa Sukan SEA Myanmar 2012, pingat emas Sukan SEA Singapura 2015 dan pingat perak Sukan SEA KL 2017,” katanya.
Secara keseluruhannya, kontinjen Pahang mengungguli Karnival Sukan Orang Asli Kebangsaan dan dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan.
Leave a Reply