Parlimen Rembau: ‘Saya cakap benar’, Khairy jawab Tok Mat

MENTERI Kesihatan Khairy Jamaluddin mempertahankan pendedahannya bahawa beliau diarah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk “memberi laluan” bertanding di Parlimen Rembau, kawasan yang disandangnya sejak 2008.

Katanya, apa yang diperkatakannya pada minggu lalu adalah benar, namun enggan mengulasnya lagi secara terbuka.

“Saya sudah nyatakan apa yang perlu saya katakan sebagai jawapan kepada kenyataannya (Mohamad). Ia adalah benar dan saya tidak perlu membuktikannya. Saya tidak akan sentuh perkara itu di khalayak ramai lagi.

“Biar saya selesaikan perkara ini secara tertutup,” katanya lapor Berita Harian.

Pada 4 Sept, Khairy berkata beliau tidak akan bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), jika tidak diberikan kawasan.

“Saya (baru-baru ini) menerima satu mesej daripada (timbalan presiden UMNO) Mohamad (Hasan) untuk memberi laluan. Saya akan ikut apa yang Umno mahu dan di mana mereka mahu saya bertanding. Tak apa. Saya belum terima sebarang arahan. Saya akan berasa malu untuk ceroboh kawasan lain.

“Tak apa. Senario terburuk, saya tidak akan bertanding,” katanya.

Bagaimanapun, semalam Mohamad yang juga ADUN Rantau, menafikan akan bertanding di Parlimen Rembau seperti diperkatakan.

“Saya belum cakap pasal kerusi lagi dan Rembau pun, saya hanya bercakap soal kesiapsiagaan jentera parti. Saya hanya bagi tahu akan bertanding di peringkat Parlimen dan tiada nyatakan kerusi di mana pun. Fokus kami bincang soal jentera dan belum lagi membabitkan soal calon dan kerusi mana,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Katanya, beliau hanya memberitahu bahawa sudah sampai masanya bertanding di peringkat Parlimen sejajar statusnya sebagai timbalan presiden Umno.

“Saya tak pernah cakap nak bertanding (kerusi Parlimen) di mana-mana, cuma saya bagi tahu sudah sampai masanya untuk bertanding di peringkat Parlimen, di Parlimen mana suka hati sayalah, saya timbalan presiden,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *