MUDA bukan proksi Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pejuang berdasarkan perbezaan perkara asas diperjuangkan, kata timbalan presidennya, Amira Aisya.
Memetik laporan Free Malaysia Today, beliau berkata, sekiranya Muda tidak ikhlas berjuang, adalah lebih baik mereka menyertai parti kerajaan sahaja mengambil kira tawaran “macam-macam” kepada Syed Saddiq sebelum ini.
“Buat apa susah-susah mahu lawan kerajaan, keluar masuk balai, naik turun mahkamah kalau apa yang saya buat sebagai pimpinan Muda ini tidak ikhlas untuk negara?
“Nak kaitkan Muda dengan Tun Mahathir dan Pejuang juga tak boleh. Muda bukan ejen atau proksi mereka. Banyak hal asas kami berbeza pendapat.
“Muda mahu raikan semua agama, kaum dan warna kulit. Waktu PRN (pilihan raya negeri) Johor, kami bergerak dengan PH – itu sangat jelas,” katanya di Facebook.
Beliau berkata demikian memandangkan timbul kerisauan dan keraguan terhadap niat sebenar Muda untuk menjadi parti komponen Pakatan Harapan (PH) seperti diumumkan presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pada 6 September.
Mengulas lanjut, Amira berkata dakwaan yang ditujukan kepada Muda hanya kerana hasrat parti itu ingin menjadi sebahagian dari PH dibina dengan imaginasi.
“Muda ini dibina oleh sekumpulan orang muda yang mahu Malaysia maju ke depan. Setelah kekecewaan dengan Langkah Sheraton, saya dan kawan-kawan fikir, lebih baik kita tubuh parti politik dan jadi orang politik yang bersih, rajin dan bersungguh-sungguh mentadbir negara,” katanya.
Beliau yang juga ADUN Puteri Wangsa, berkata beliau memahami setiap kritikan dan keraguan dari parti komponen PH berhubung “rekod” bekerja Muda dan PH.
Pada PRN Johor, Muda bertembung dengan parti komponen PH, di Larkin.
Katanya, justeru, beliau dan pimpinan Muda bersedia mengadakan pertemuan rasmi dengan PH bagi meleraikan setiap isu berbangkit.
“Lumrah membina sebuah gabungan bersama – pasti ada banyak persoalan. Sebab itu saya dan pimpinan Muda bersedia untuk adakan pertemuan rasmi bersama PH untuk kita leraikan setiap hal bersama-sama,” katanya.
Susulan kenyataan Syed Saddiq mahu membawa Muda menyertai PH, pemimpin akar Umbi daripada PKR paling kuat menyatakan kritikan mereka.
Khamis lalu, Timbalan Ketua Penerangan PKR Pusat Razeef Rakimin, mahu Muda terus memutuskan sebarang kerjasama dengan Warisan memandangkan parti itu tidak lagi mesra PH.
Beliau turut menyelar kenyataan Ketua Muda Sabah Amos Thien, yang masih mengharap kerjasama dengan Warisan, ketika Muda sudah meluahkan hasrat menyertai PH.
“Muda perlu belajar lagi dalam berpolitik dan bukan menjadi sebuah parti yang menempel sana sini untuk menang. Malah, status Muda dengan Pejuang sehingga hari ini masih belum ada noktah daripada parti itu,” katanya.
Terdahulu, Ketua Penerangan PKR Selangor Halimey Abu Bakar, mahu Muda menyatakan pendirian merek terhadap Gerakan Tanah Air (GTA) dan Pejuang, ditunjangi Mahathir, selain mahu parti itu menyatakan sokongan tuntas kepada Anwar Ibrahim sebagai calon tunggal perdana menteri, pada pilihan raya umum akan datang.
Leave a Reply