PAKATAN Harapan (PH) akan memuktamadkan keputusan sama ada menerima atau menolak penyertaan Muda ke dalam gabungan itu dalam masa terdekat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.
Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata, setakat ini gabungan itu belum mengadakan sebarang perbincangan dengan semua pimpinan komponen, yang terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan Upko , menerusi mesyuarat Majlis Presiden berhubung perkara itu.
“Belum ada perbincangan (dalam PH tentang penyertaaan Muda setakat ini). Ia akan dibincangkan secepat mungkin,” katanya selepas menghadiri ceramah Angkatan Muda di Taman Medan, lapor FMT
Pada 6 Sept, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Muda berhasrat menyertai PH menjelang PRU-15.
Katanya, Muda juga terbuka mengadakan perbincangan rasmi bersama Majlis Presiden PH berhubung perkara itu, selain menyasarkan bertanding kawasan Parlimen tidak lebih 15 kerusi.
Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook berkata, pembahagian kerusi PH untuk PRU-15 telah dimuktamadkan di beberapa negeri di Semenanjung.
Beliau juga telah dimaklumkan yang gabungan pembangkang itu telah memuktamadkan rundingan kerusi di tiga hingga empat negeri.
Loke turut mendedahkan, bahawa Majlis Presiden PH telah menerima permohonan rasmi daripada Muda untuk menyertai gabungan itu.
“Kita akan bincangkan permohonan itu pada mesyuarat Majlis Presiden akan datang dan kita berharap keputusan mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat ini.
“Kami melihat hasrat parti yang mahu menyertai PH ini sebagai satu perkara yang positif dan ia menunjukkan gabungan ini mempunyai satu keistimewaan dan daya tarik,” katanya seperti dilaporkan The Star.
Loke berkata, rundingan kerusi yang kini masih berjalan juga tidak akan terjejas sekiranya Muda menyertai PH kerana rundingan lanjut boleh dibuat selepas itu.
Katanya, PH tidak boleh menunggu sehingga keputusan dibuat mengenai Muda selesai untuk membuat rundingan mengenai kerusi.
“Peruntukan kerusi untuk komponen sedia ada akan diteruskan dan apabila keputusan akhir telah dibuat (mengenai permohonan Muda), kita akan menjalankan rundingan lanjut (kerusi untuk Muda),” katanya.
Leave a Reply