3 PATI Myanmar bekerja di sangkar ikan ditahan

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan tiga pekerja sangkar ikan selepas didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, anggota penguat kuasa bot ronda Maritim Malaysia melakukan pemeriksaan ke atas sangkar ikan PP-S72 di kedudukan 0.4 batu nautika tenggara Batu Maung pukul 6.05 petang semalam ketika melaksanakan OP PERTIWI.

Jelas beliau, hasil pemeriksaan mendapati lesen kultur laut sangkar tersebut telah tamat tempoh dan disyaki lesen palsu.

Selain itu katanya, tiga pekerja sangkar warga Myanmar masing-masing berumur 24 hingga 26 tahun turut gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta permit kerja.
 
“Ketiga-tiga pekerja sangkar itu kemudian ditahan dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Abd. Razak, kes itu akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985 iaitu tiada dokumen pengenalan diri yang sah dan lesen sangkar ikan tamat tempoh.

Dalam pada itu, beliau menasihati pemilik sangkar ikan supaya mematuhi peraturan dan undang-undang sedia ada bagi mengelakkan sebarang tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa.

Katanya, sebarang aduan salah laku jenayah maritim di laut atau sebarang kecemasan boleh menghubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *