Najib kekal Ahli Parlimen hingga proses pengampunan, semakan kehakiman selesai

YANG di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar memaklumkan, status Datuk Seri Najib Razak sebagai Ahli Parlimen Pekan akan kekal sehingga proses permohonan pengampunan diraja serta semakan kehakiman difailkannya selesai.

“Mengambil kira permohonan pengampunan yang telah dibuat sebelum ini dan juga usul berkenaan semakan kehakiman yang difailkan, maka status Najib Razak sebagai Ahli Parlimen pada masa ini tidak berubah.

“Ia akan hanya dimuktamadkan selepas kedua-dua permohonan pengampunan dan usul tersebut dibereskan,” katanya dalam kenyataan, memetik laporan Free Malaysia Today, hari ini.

Memetik Perkara 48(4)(c) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan jika petisyen pengampunan difailkan dalam masa 14 hari dari tarikh rayuan diputuskan, Azhar berkata, kehilangan kelayakan Ahli Parlimen hanya akan berkuat kuasa sebaik sahaja petisyen pengampunan diselesaikan.

Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Najib atas kesalahan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana milik SRC International.

Najib memenangi kerusi Parlimen Pekan sejak 1976.

Menurut Perkara 48 Perlembagaan, seseorang individu hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen jika sabit kesalahan dan dihukum penjara lebih setahun atau denda tidak kurang RM2,000 serta dia tidak mendapat pengampunan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *