PKR Muda

Kerjasama politik dengan PH pada PRU-15:Muda perlu buat permohonan rasmi, ikhlas

PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) perlu membuat permohonan rasmi kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) untuk menjalin kerjasama Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Halimey Abu Bakar berkata, terpulang kepada Majlis Presiden PH untuk membuat keputusan menerima atau sebaliknya.

Keputusan tersebut jelasnya, selepas diambil kira pandangan akar umbi khususnya daripada PKR.

Nmaun katanya, Muda terlebih dahulu perlu memberikan penjelasan terhadap beberapa tindakan dilakukan parti itu sebelum ini yang telah menimbulkan kemarahan ahli PKR.

“Umum mengetahui luka lama masih berdarah akibat tindakan semberono parti itu yang meletakkan calon di Larkin yang menyebabkan pertembungan dengan calon PKR pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Ditambah pula sindiran Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terhadap Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2014 yang ditularkan semula,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, permohonan Muda untuk bersama PH juga perlu disertai dengan keikhlasan membantu memperkukuh serta memperkuat jentera menjelang PRU-15.

“Masih ada banyak ruang kosong terutama di kerusi tradisi UMNO dan Pas yang memerlukan tenaga segar dari parti seperti Muda yang secara terbuka mengumumkan akan bertanding 15 kerusi Parlimen sebelum berunding.

“Berhenti berharap memperoleh laluan mudah untuk bertanding di kerusi dalam negeri yang telah dimenangi PH seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

“Sebaliknya fokus gerak kerja di kawasan pantai timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang serta kawasan luar bandar di Sabah
dan Sarawak,” jelas Halimey.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, Muda juga perlu menyatakan pendirian terhadap Gerakan Tanah Air (GTA) diketuai Presiden Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang diketahui secara terbuka menolak calon Perdana Menteri tunggal PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ini kerana mustahil akar umbi PH akan bekerjasama dengan Muda sekiranya gagal memuktamadkan sokongan secara tuntas terhadap keputusan menamakan calon Perdana Menteri yang dipersetujui secara kolektif,” ujarnya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *