Pengurus kedai tersepit, ah long buru bekas pekerja

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

“AH long mengugut supaya mengesan bekas pekerja kami atau melangsaikan hutangnya dengan kadar segera.”

Itu kata dua yang diterima pengurus sebuah kedai cermin kereta di Taman Johor Jaya, Johor Bahru kerana bekas pekerjanya, Cheah Wei Keong menghilangkan diri selepas meminjam wang ah long.

Menurut Tay Poi Kiang, 53, ugutan tersebut turut disusuli dengan tindakan apabila kedai cermin kereta tersebut disimbah cat merah.

“Kejadian ini disedari sekumpulan pekerja kami pada jam 5.45 petang Isnin lalu apabila mendapati premis dicemari dengan cat merah.

“Malah terdapat nota ditinggalkan di hadapan premis perniagaan berkenaan bertujuan menuntut hutang dan juga tercatat nama salah seorang bekas pekerja dan nombor kad pengenalan lelaki itu,” katanya.

Dia berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadu masalah berkenaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung di premis perniagaan berkenaan, pada Rabu.

Poi Kiang berkata, susulan itu pihaknya bertindak menghubungi nombor telefon tersebut menerusi WhatsApp bagi mendapatkan penjelasan.

Menerusi perbualan itu pihaknya dimaklumkan bahawa ah long tersebut sebenarnya memburu Wei Kiong kerana tidak melunaskan hutang.

“Kami dimaklum dia meminjam SGD800 (RM2,554) dan memiliki rekod pinjaman lain namun mereka enggan beritahu tarikh pinjaman itu dilakukan.

“Mereka juga menyatakan memiliki maklumat beberapa ahli keluarga Wei Kiong yang berasal dari Pulau Pinang termasuk nombor pendaftaran kereta, nombor telefon dan alamat,” katanya.

Poi Kiang berkata, walaupun pihaknya menjelaskan bekas pekerja mereka sudah lama berhenti kerja lapan tahun lalu pada 2014 dan tidak memiliki sebarang maklumat berkaitan lelaki berkenaan, ah long tidak mempedulikannya.

Susulan itu dia membuat laporan di Balai Polis Taman Johor Jaya pada 5 September lalu selain mengadu masalah itu kepada Cai Tung.

“Kejadian seumpama ini adalah serius dan perlu diambil tindakan kerana terdapat banyak kes ceti haram bebas melakukan apa saja bagi menuntut hutang,” katanya.

Tambahan pula kata Poi Kiang, mereka turut mengancam individu yang tidak membuat pinjaman dan seolah-olah menunjukkan mereka berkuasa melakukan apa sahaja bagi menuntut hutang.

“Ketika bekerja di premis perniagaan ini, Wei Kiong yang berusia 30 tahun ketika itu tinggal di tingkat atas bangunan rumah kedai ini dan mungkin membuat pinjaman dengan menjadikan alamat kami sebagai rujukan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *