Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SEORANG pekerja maut akibat tersepit di antara kren dan penghadang besi di sebuah kilang di Taman Perindustrian Tanjung Pelepas di Iskandar Puteri semalam.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Pegawai Bomba Kanan II Ahmad Nazran Omar berkata, mangsa merupakan warganegara Nepal dikenali Das Chandan Kumar, 20, disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.
“Sebaik menerima panggilan kecemasan pada 5.50 petang, seramai 11 anggota dan sebuah jentera serta satu utiliti Hilux ke lokasi kejadian.
“Mangsa didapati tersepit di antara kren dan penghadang besi sewaktu anggota bomba tiba di lokasi kejadian.
“Anggota bertindak menggunakan peralatan khas ‘Rescue Cutter’. Pemeriksaan dilakukan pegawai perubatan di lokasi kejadian mengesahkan mangsa meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru dan kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Leave a Reply