Justin Bieber batal siri jelajah dunia

BINTANG sensasi, Justin Bieber mengumumkan pembatalan siri jelajah dunia, Justice World Tour yang masih berbaki termasuk di beberapa negara Asia dan Malaysia, bagi memberi perhatian kepada masalah kesihatan.

Bieber yang mengejutkan peminat apabila mengaku mengalami masalah ‘kelumpuhan wajah’ berpunca sindrom Ramsay Hunt, awal tahun ini, mengumumkan pembatalan siri jelajah itu melalui hantaran Instagram (IG), kira-kira sejam lalu.

Melalui entri itu, Bieber yang baru mementaskan konsert di Brazil, memberitahu, keputusan menamatkan siri jelajah itu dibuat selepas mendapati kesannya kepada kesihatan terutama usaha memulihkan masalah ‘kelumpuhan wajah’.

“Awal tahun ini, saya umumkan perjuangan melawan sindrom Ramsay Hunt yang mengakibatkan sebahagian daripada muka saya lumpuh.

“Berikutan itu, saya tidak dapat menghabiskan siri jelajah, Justice World Tour di utara benua Amerika.

“Bagaimanapun, selepas berehat dan mendapatkan nasihat doktor, saya sambung siri jelajah itu di Eropah dan mementaskan enam konsert yang akhirnya memberi kesan kepada saya.

“Hujung minggu lalu saya beraksi di Festival Rock In Rio dan memberi segala-galanya kepada peminat di Brazil,” katanya melalui hantaran itu.

Awal bulan lalu, BH Online melaporkan, Bieber kembali beraksi atas pentas buat kali pertama di Festival Musim Panas di Itali, selepas dua bulan berehat.

Sebelum ini, penyanyi kelahiran Kanada berusia 28 tahun itu menunda beberapa persembahan selepas masalah ‘kelumpuhan wajah’ berpunca sindrom Ramsay Hunt.

Mengikut perancangan, siri jelajah, Justice World Tour akan bersambung di Afrika Selatan, Asia Barat, Asia, Australia dan New Zealand sebelum kembali ke Eropah, antara Januari hingga Mac tahun depan.

Peminat di Malaysia sepatutnya berpeluang menyaksikan persembahan Bieber di depan mata pada konsert yang akan dipentaskan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, bulan depan.

Selepas berkongsi mengenai penyakitnya melalui IG pada 10 Jun lalu, Bieber terpaksa membatalkan persembahan di Washington DC, Toronto dan New York serta diikuti beberapa siri di Amerika Utara.

Bieber berkata, keletihan mementaskan konsert mendorong dirinya memberi keutamaan kepada kesihatan.

“Sehubungan itu, saya akan berhenti daripada beraksi di konsert buat sementara waktu.

“Saya akan okay tetapi perlukan masa untuk berehat dan pulihkan kesihatan,” katanya memetik laporan Satu Berita.

Bieber berbangga dapat mementaskan Justice World Tour dan berkongsi mesej positif di sebalik persembahan itu dengan peminat.

“Terima kasih atas doa dan sokongan anda selama ini. Saya sangat sayangkan kamu,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *