Oleh RIZQI ZABIDI
BANJIR kilat di Baling semalam secara keseluruhannya menjejaskan sebanyak 74 rumah penduduk di 13 kampung yang terletak di bawah pentadbiran Balai Polis Baling dan Balai Polis Kupang.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, lima kampung yang terjejas terletak di bawah pentadbiran Balai Polis Baling manakala lapan lagi terletak di bawah pentadbiran Balai Polis Kupang.
“Lima kawasan terjejas di bawah Balai Polis Baling adalah Taman Bayu Sejahtera, Kampung Sungai Batu, Taman Bayu Indah , Taman Bayu Indah 2 dan Taman Bayu Permai.

“Sementara lapan kawasan di bawah pentabiran Balai Polis Kupang yang dimasuki air adalah Kampung Iboi, Kampung Bendang Bechah, Kampung Hangus, Kampung Bendang Padang, Kampung Tok Saba, Kampung Masjid Iboi, Kampung Lata Chelak dan Tanjung Nering,” katanya.
Semalam, Sungai Kupang yang terbabit dengan tragedi aliran puing serta banjir lumpur meragut tiga nyawa pada 4 Julai lalu, melimpah buat kali ketiga akibat hujan lebat selama kira-kira sejam sejak pukul 5 petang.

Beberapa klip video yang tular di media sosial jelas menunjukkan air sungai berwarna kemerah-merahan melimpah dari sungai tersebut dan memasuki rumah penduduk.
Shamsudin menambah, air sungai tersebut telah pun surut kira-kira pukul 1 pagi tadi.
“Melalui pemerhatian kasar, Jambatan Bailey yang dibina untuk kegunaan sementara penduduk Kampung Iboi didapati mengalami kerosakan struktur kerana terdapat pokok yang tersangkut padanya.

“Disebabkan itu, jambatan tersebut ditutup sementara kepada semua kenderaan dan pejalan kaki,” katanya.
Dalam pada itu beliau memaklumkan, terdapat dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka iaitu di Kampung Padang Empang dan Masjid Al-Huda, Kampung Hangus.
“Di PPS Kampung Padang Empang, seramai 96 mangsa terdiri dari 31 keluarga berteduh di situ sementara PPS Masjid Al Huda pula menempatkan 34 keluarga dari enam keluarga,” katanya.
Leave a Reply