Warga Indonesia disyaki langgar lari pegawai imigresen direman empat hari

Oleh: RIZQI ZABIDI

Seoranng lelaki, dipercayai individu yang melarikan diri setelah terlibat dalam kemalangan mengorbankan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) kelmarin, direman selama empat hari bermula hari ini.

Majistret, Nor Fazlina Musa mengeluarkan perintah tahanan tersebut terhadap lelaki warganegara Indonesia berusia 27 tahun itu, selepas mendapat permohonan polis di Mahkamah Sungai Petani, hari ini.

Suspek yang memakai baju berwarna kelabu dan berseluar putih tiba di mahkamah tersebut dengan diiringi polis kira-kira pukul 9 pagi dengan proses permohonan reman terhadapnya selesai kira-kira sejam kemudian.

Dalam kejadian pada 9.30 pagi kelmarin, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Muhammad Nizam Samsudin, 46, meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal ditunggang dirempuh sebuah kereta dipercayai jenis Proton Wira dipandu suspek.

Kejadian itu turut mengakibatkan Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan, Zaili Nizam Muhammad, 43 patah kaki kanan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan memaklumkan, suspek ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Muda kira-kira pukul 6.30 petang semalam.

“Semakan nombor pendaftaran kenderaan mendapati kereta tersebut adalah milik abang iparnya.

Zaidy menambah, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *