SEORANG pembaca berita dari Oklahoma, Amerika Syarikat (AS) mendedahkan dia diserang strok ringan ketika sedang bersiaran langsung di televisyen.
Sebaik menyedari keadaannya itu, Julie Chin yang bekerja di stesen televisyen KJRH di Tulsa segera dikejarkan ke hospital berhampiran pada Sabtu lalu selepas berdepan kesukaran membaca berita menerusi telepanduan di hadapannya.
Memetik laporan portal New York Post, Chin memberitahu, doktor memaklumkan dia mula diserang strok pada sebelah pagi Sabtu semasa sedang bersiaran langsung.
“Sebahagian penonton mungkin perasan sedikit kejanggalan namun saya minta maaf ia berlaku.
“Insiden itu nampaknya tidak menunjukkan sebarang petanda.Saya rasa bagus sebelum bersiaran.
“Pada awalnya, saya kehilangan penglihatan sebelah mata yang mula kabur selain tangan dan lengan mula terasa kebas.
“Saya mula sedar berada dalam masalah besar bila tiada perkataan dapat dilontarkan dari mulut,” katanya.
Ketika kejadian, Chin sedang melaporkan berita kegagalan NASA melancarkan roketnyahingga dia keliru dan mula mengulangi ayat yang sama.
Chin kini sedang dalam proses menerima rawatan memberitahu, dia bersyukur kerana kejadian itu disedari rakan sekerjanya yang pantas menghubungi ambulans.
Leave a Reply