POLIS berjaya menahan 12 lelaki warga tempatan masing-masing berusia dalam lingkungan 19 hingga 23 tahun yang disyaki terbabit dalam kes pecah rumah dan curi di Petaling Jaya 24 Ogos lalu.
Memetik laporan UtusanTV, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, pengadu menyedari kejadian curi itu semasa ingin mengambil peti besi yang disimpan di ruang dapur rumah tersebut.
Jelasnya, pengadu kemudian membuat laporan polis pada 25 Ogos dan memaklumkan anggaran kerugian sebanyak RM430,000 wang tunai dan barangan kemas bernilai RM200,000.
Mohamad Fakhruddin berkata, pengadu memaklumkan wang tersebut adalah hasil pelaburan matawang asing bersama isteri sejak 2020 hingga Januari 2022.
“Bertindak atas maklumat risikan, pasukan polis Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Selangor memulakan operasi pada 31 Ogos jam 3.30 petang.
“Pasukan operasi melakukan serbuan ke atas sekumpulan 11 lelaki warga tempatan yang sedang berhenti rehat di sebuah stesen minyak di Seremban.
“Hasil pemeriksaan ke atas kesemua suspek, pasukan telah merampas pelbagai barangan disyaki dibeli menggunakan wang hasil curi,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Fakhruddin berkata, antara barangan yang dirampas adalah dua buah motosikal jenis Yamaha dan Kawasaki, enam buah telefon bimbit jenis Iphone 13 Pro Max dan satu beg silang jenama Coach.
Tambah Mohamad Fakhruddin, hasil siasatan terhadap suspek telah membawa kepada tangkapan seorang lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 20-an di sebuah rumah di Klang, Selangor.
Jelas beliau, pemeriksaan ke atas suspek telah berjaya membawa kepada rampasan pelbagai barangan yang disyaki dibeli menggunakan wang hasil curi.
“Barangan yang dirampas adalah seuah telefon bimbit jenis Iphone 13 Pro Max, dua utas jam tangan jenama G-Shock, sebuah kamera Insta 360 One X2, sebuah motosikal jenis Kawasaki 150RR, sepasang selipar jenama Skechers, sekeping kad pendaftaran motosikal dan wang tunai berjumlah RM1,000.
“Siasatan lanjut terhadap 11 orang kena tangkap (OKT) telah pandu arah ke rumah masing-masing di Klang dan membawa kepada rampasan pelbagai barangan disyaki dibeli menggunakan wang hasil curi.
“Barangan itu adalah enam utas gelang tangan emas, satu anting-anting, sebuah kereta jenis Honda Civic FD 2.0, dua set alat ganti motosikal Yamaha (cover set), satu set lampu kereta Perodua, dua beg pelbagai jenama, dua buah motosikal jenama Kawasaki dan NVX, empat buah topi keledar jenama KYT, empat kad pendaftaran kenderaan dan wang tunai berjumlah RM55,950,” katanya.
Mohamad Fakhruddin berkata, hasil semakan rekod jenayah lampau ke atas kesemua 12 OKT mendapati tiada rekod jenayah lampau dan tiada rekod dikehendaki.
Katanya, anggaran jumlah nilai rampasan adalah sebanyak RM271,209 manakala baki berjumlah RM158,791 adalah perbelanjaan suspek yang tidak dapat dirampas seperti pembelian aplikasi permainan atas talian, pembayaran bil, bayaran upah pembaikan rumah dan lain-lain perbelanjaan tunai.
Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan curi.
Katanya, kesemua suspek telah ditahan reman selama tujuh hari bermula 1 September hingga 7 September untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, dua daripada suspek adalah penganggur, dua bekerja sebagai pemandu lori, seorang bekerja sebagai operator kilang manakala tujuh lagi adalah penghantar makanan (rider).
“Lain-lain wang tunai yang tidak dirampas telah dibelanjakan suspek untuk mengunjungi pusat hiburan dan melanggan pelacur.
“Wang tunai yang diserahkan keada ahli keluarga mereka juga telah habis dibelanjakan,” katanya.
Leave a Reply