Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
TIMBALAN Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed mencadangkan kerusi Parlimen Tapah yang dimenangi Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) diserahkan kepada UMNO pada PRU-15.
Ketua UMNO Bahagian Pulai itu berkata, parti tersebut pula akan menyerahkan kerusi Parlimen Pulai sebagai pertukaran kawasan untuk PRU15.
Jelasnya, MIC perlu sedia berkorban melepaskan kerusi itu apabila beliau sendiri sedia menyerahkan kerusi Parlimen Pulai kepada mereka.
“Bila saya setuju beri laluan kepada MIC di Pulai, kita kenalah buat sistem ‘barter trade’. Saya dan UMNO berkorban kerusi Pulai, MIC pun kenalah serahkan dan beri laluan kepada UMNO bertanding di Tapah yang majoriti pengundi Melayu di kerusi berkenaan.
“Barulah adil dan kena dengan semangat kekeluargaan dalam Barisan Nasional (BN). Saya percaya jika calon UMNO bertanding di kerusi Tapah, BN akan dapat kemenangan kerana pengundi Melayu sekarang ini ada keyakinan tinggi terhadap keupayaan dan trak rekod (BN).
“Jadi BN akan untung sebab mampu kekalkan kerusi Tapah dan MIC pun belum tentu menang di Pulai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nur Jazlan sebelum ini mendakwa MIC dan MCA lemah sejak PRU-13 dan PRU-14 selain mencabar pemimpin tertinggi daripada dua parti komponen tersebut untuk bertanding di Parlimen Pulai.
Pada PRU-14, Nur Jazlan buat pertama kali kalah di Parlimen Pulai dalam pertembungan empat penjuru yang menyaksikan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub menang dengan majoriti 28,924 undi.
Sementara Saravanan yang juga Menteri Sumber Manusia menang dengan majoriti 614 undi di Parlimen Tapah pada PRU14 dalam pertembungan tiga penjuru melawan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas.
Nur Jazlan berkata, pihaknya sebelum ini menawarkan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong untuk menjadi calon BN di kerusi Parlimen Pulai kerana kawasan itu mempunyai 40 peratus pengundi Cina manakala pengundi India hanya 12 peratus.
Beliau juga menawarkan Presiden dan Timbalan Presiden MIC di kerusi berkenaan namun cabaran tersebut disahut Ketua Penerangan MIC Johor, S. Deva, pada Ahad yang berani tampil tawarkan diri untuk bertanding.
Katanya, pada mulanya MIC dilihat tidak serius untuk menyahut pelawaannya untuk pemimpin tertinggi parti itu bertading di kerusi tersebut yang sememangnya memerlukan calon benar-benar layak dan boleh menang.
“Semua orang tahu kerusi Pulai adalah satu kerusi yang ‘tough’ dan hanya calon-calon ‘heavyweight’ boleh menang dan bukannya calon ‘lightweight’. Bukan senang nak menang di Pulai.
“MIC tak boleh bawa budaya ‘kerusi lipat’ di Pulai macam mereka buat di tempat lain sebelum ini. Minta kerusi nak bertanding tapi kalah selepas itu ‘lipat kerusi’ tolak tepi dan minta lagi kerusi lain,” katanya.
Leave a Reply