Seorang pemancing dikhuatiri lemas, dua bot berlanggar

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG pemancing dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki bersama dua rakan berlanggar dengan sebuah bot pemancing lain di Jalan Kerisi Kampung Sungai Sembayong di Kota Tinggi, hari ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Rafiee A Karim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 5.11 petang.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian mendapati kemalangan dua buah bot berukuran panjang empat dan sembilan meter.

“Akibat pelanggaran itu tiga lelaki dewasa dari bot berukuran empat meter telah tercampak ke sungai.
Bagaimanapun dua mangsa berusia 38 tahun dan 29 tahun berjaya diselamatkan orang awam.

“Mangsa berusia 29 tahun yang mengalami kecederaan telah dihantar ke Klinik Kesihatan Tanjung Sedili menggunakan kenderaan awam manakala seorang lagi mangsa iaitu lelaki berusia 35 tahun masih hilang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu kata beliau, seramai 10 anggota dikejarkan ke tempat kejadian dengan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang hilang masih dilakukan.

Menurut Rafiee, kerja-kerja pencarian awal secara teknik permukaan sedang dijalankan menggunakan dua bot milik orang awam.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *