Oleh BADLISHAH MAT
POLIS masih mengesan pemandu kereta yang terbabit kejadian langgar lari sehingga menyebabkan kematian seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Kilometer 83.4 PLUS, Gurun di Kedah pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pemandu kereta jenis Proton Wira Aeroback itu melarikan diri dari lokasi kejadian dan tidak tampil untuk membuat laporan sehingga kini.
Katanya, kereta berwarna perak terbabit dengan nombor pendaftaran TAC 6688 itu berjaya dikesan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Plaza Tol Gurun ketika suspek melaluinya selepas kejadian.
“Kita sedang meneliti dan menyemak nombor pendaftaran kereta untuk mengetahui sama ada pemiliknya sendiri yang memandu atau individu lain menggunakan kenderaan itu semasa kejadian,” katanya.
Tambah beliau, orang ramai yang mengetahui maklumat pemandu dan kenderaan itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Juzaili Ismail di talian 019-5586668 atau Pejabat Pertanyaan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuala Muda di talian 04-4232222 untuk membantu siasatan.
Kejadian pada 9.23 pagi semalam, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen di Depot Tahanan Sementara Sungai Bakap, Muhammad Nizam Shamsudin, 46 maut di tempat kejadian apabila motosikal jenis Kawasaki KLE650 yang ditunggang di lorong kiri dilanggar dari belakang.
Rempuhan kuat itu menyebabkan Muhamad Nizam hilang kawalan lalu terjatuh di lorong kecemasan sebelum disahkan meninggal dunia akibat kecederaan serius di kepala.
Rakan setugas mangsa, Zaili Nizam Muhammad, 43, yang juga Tmbalan Penolong Pengarah Kanan Imigresen di depot sama sedang menunggang sebuah lagi motosikal jenis sama di belakang mangsa.
Zaili Nizam mengalami patah kaki kanan selepas motosikalnya merempuh motosikal milik Muhammad Nizam.
Sementara itu, Zaidy berkata, kedua-dua pegawai Imigresen dan suspek terbabit dipercayai dalam perjalanan ke Gurun ketika kejadian.
6)
Leave a Reply