Pisahkan jawatan Peguam Negara, Pendakwa Raya sebelum PRU-15

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

JAWATAN Peguam Negara dan Pendakwa Raya perlu dipisahkan bagi mengelak berlakunya kes-kes pendakwaan terpilih.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, sudah tiba masanya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berbuat demikian sebelum membubarkan Parlimen untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Adakan PRU-15 pada tahun hadapan selepas satu pindaan Perlembagaan Persekutuan dapat diluluskan untuk memisahkan jawatan Peguam Negara dengan jawatan Pendakwa Raya.

“Semua parti politik boleh bersetuju dalam hal ini, sama ada UMNO dan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) termasuklah Parti Pejuang Tanah Air (Pejaung) dan Gabungan Tanah Air (GTA).

“Pindaan Perlembagaan Persekutuan memerlukan sokongan dua pertiga di Parlimen iaitu seramai 148 Ahli Dewan Rakyat bersetuju,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, dua individu yang berbeza masing-masing perlu memegang jawatan itu, tidak seperti sekarang Tan Sri Idrus Harun menjadi Peguam Negara sekali gus berperanan sebagai Pendakwa Raya.

Ismail Sabri katanya, tidak perlu ikut jalan penyelesaian dicadangkan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said iaitu Peguam Negara yang juga Pendakwa Raya harus tunduk arahan Perdana Menteri dan parti politik yang berkuasa.

“Cadangan Azalina itu merupakan langkah mundur ke belakang dan boleh menjerumuskan Malaysia menjadi seperti negara-negara jiran kita satu waktu dahulu iaitu Filipina di bawah diktator Marcos dan Indonesia di bawah diktator Suharto.

“Penyokong-penyokong pembangkang khususnya PH juga macam orang-orang UMNO pernah mendakwa wujudnya pendakwaan berpilih-pilih apabila pemimpin mereka didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah atau lain-lain tuduhan,” ujar beliau.

Hassan berkata, mereka tidak puas hati terhadap Peguam Negara yang bertindak juga sebagai Pendakwa Raya.

Beliau memuji Ismail Sabri yang tidak campur tangan dan menghormati kebebasan badan kehakiman serta prinsip pengasingan kuasa semasa detik genting lima hakim Mahkamah Persekutuan membuat keputusan terhadap Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.

“Ini adalah ciri penting kepimpinan Ismail Sabri yang disokong dan dihormati kawan dan lawan. Rakyat lega dengan sikap Ismail Sabri.

“Justeru untuk melengkapkan pencapaian cemerlang sebelum beliau berundur sebagai Perdana Menteri kesembilan, adalah bijaksana dan bersifat seorang pemimpin satu keluarga Malaysia jika beliau meninggalkan legasi penting iaitu memisahkan jawatan Peguam Negara dengan jawatan Pendakwa Raya,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *