Buruh Bangladesh maut dihempap paip pemercik

SEORANG buruh binaan warga Bangladesh maut dihempap paip pemercik (sprinkler) dalam kejadian di tapak projek pembinaan di Taman Perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) negeri dalam satu kenyataan berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang menjalankan kerja pemasangan sistem pencegahan kebakaran (fire fighting) pada bangunan yang masih dalam pembinaan.

Menurutnya, mangsa dipercayai dihempap oleh paip pemercik (sprinkler) yang disandarkan pada ‘scissor lift’ yang tiba-tiba terjatuh dan terkena kepala mangsa.

“Susulan kejadian itu, satu notis larangan telah dikeluarkan dan lokasi kejadian telah disita serta-merta sehingga siasatan selesai dijalankan,” kata kenyataan itu hari ini.

Tambah kenyataan itu, tindakan perundangan akan diambil terhadap pihak berkenaan sekiranya terdapat pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *