KERAP berdepan bencana banjir mendorong sekumpulan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu mencipta bot dua alam atau Amfibia Qber II.
Memetik laporan Astro Awani, Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, bot berkenaan mampu diguna pakai di daratan dan air khususnya bagi melakukan tugasan menyelamat ketika musim banjir.
Katanya ia merupakan produk inovasi Kumpulan Inovatif Kreatif (KIK) terbaharu IPD Hulu Terengganu yang lebih praktikal untuk digunakan di kawasan kampung serta laluan yang sempit kerana saiznya yang lebih kecil
“Kerana kita sedia maklum Hulu Terengganu kawasan yang kerap kali dilanda banjir saban tahun dan sebelum ini produk yang pertama kita adalah terlalu besar berbanding ini lebih praktikal.
“Kalau yang dulu ditarik oleh Hilux, kenderaan besar, tapi tak praktikal bagi setengah kampung yang tidak boleh dilalui oleh Hilux.
“Apabila situasi memerlukan, apabila guna ATV ini dengan size amfibia yang lebih kecil, ia lebih pratikal,” jelasnya.
Rohaimi berkata, bot berkenaan memgambil masa selama enam bulan untuk disiapkan dengan kos lebih RM10,000.
Jelasnya Amfibia Qber itu juga mampu memuatkan enam penumpang pada satu-satu masa.
Rohaimi berkata dengan adanya inovasi itu, pihaknya yakin akan dapat memperkasakan lagi perkhidmatan terutama pada musim tengkujuh.
Leave a Reply