POLIS hari ini menahan seorang wanita yang juga ibu kepada seorang remaja lelaki orang kurang upaya (OKU) setelah disyaki membiarkan anaknya seorang diri di rumahnya di Taman Melawati dekat ibu negara dan menginap di sebuah hotel.
Ini setelah tindakan wanita berusia 43 tahun yang bekerja di bahagian kewangan itu mengakibatkan anaknya yang baru berusia 13 tahun terjun dari tingkat satu pangsapuri mereka sebelum terjatuh di atas kereta, semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, wanita itu dimaklumkan kejadian menimpa anaknya oleh bekas suaminya pada pukul 8.32 pagi.
Beliau berkata, mangsa yang juga seorang austisme terjun dari tingkat satu dan jatuh ke atas kereta.
“Mangsa mengalami kecederaan iaitu lima jahitan di bahagian kepala, tangan sebelah kanan retak dan cedera di muka.
“Mangsa kini sedang dirawat di Hospital Ampang,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Megulas lanjut, Mohamad Farouk berkata, dipercayai semasa kejadian ibunya meninggalkan mangsa seorang diri di kediaman sejak pukul 9.15 malam kelmarin kerana membawa anak perempuan yang berusia lima tahun pergi latihan renang dan bermalam di hotel di Damansara.
Berikutan itu katanya, kira-kira pukul 2 petang tadi, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah membuat tangkapan terhadap wanita terbabit.
“Suspek akan direman di Mahkamah Ampang esok dan kes disiasat mengikut Seksyen31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang merujuk kepada kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak,” katanya.
Leave a Reply