Bot karam: 4 nelayan diselamatkan Maritim Malaysia

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang berjaya menyelamatkan empat nelayan selepas bot dinaiki mereka karam pada kedudukan 6.6 batu nautika selatan Pulau Kendi, Georgetown, awal pagi tadi.

Pengarah Maritim Malaysia Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, kesemua mereka yang merupakan warga tempatan berusia antara 31 hingga 43 tahun berjaya diselamatkan kira-kira pukul 10.45 pagi.

Menurut beliau, Pusat Operasi Maritim Malaysia Pulau Pinang menerima laporan berkaitan kejadian itu kira-kira pukul 9.15 pagi daripada pengadu yang juga mangsa bot karam tersebut.

Kata beliau, sebaik sahaja menerima laporan tersebut, bot PERKASA 1220  Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi untuk membuat pencarian dan pemantauan di sekitar lokasi aduan.

“Keadaan laut yang bergelora serta lokasi yang tidak tepat bagaimanapun menyukarkan anggota Maritim Malaysia negeri melakukan pencarian. 

“Namun, bot PERKASA 1220 akhirnya menjumpai keempat-empat mangsa bot karam tersebut dalam keadaan selamat sedang berpaut di bot yang terbalik.

“Kesemua mangsa dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban dekat sini untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Abd. Razak menasihatkan setiap komuniti nelayan mengutamakan keselamatan di laut termasuk peralatan untuk ke laut dan bot sentiasa berada di dalam keadaan yang baik bagi persediaan sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

Katanya, pemilik bot juga dinasihatkan berhati-hati dan menyemak ramalan kaji cuaca sebelum turun ke laut.

“Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut boleh segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *