SEORANG pemborong sayur menempuh detik hitam selepas diburu ceti haram sejak tiga bulan lalu.
Memetik laporan Harian Metro, masalah itu tercetus setelah anak bongsu lelakinya berusia 29 tahun terperangkap menerusi aktiviti perjudian dalam talian dan meminjam along.
Berkongsi pengalaman buruk ditempuhi ahli keluarganya Wong Thiam Siew, 60, berkata mereka menjalani kehidupan disebabkan masalah itu.
“Anak saya mendakwa dia terbabit dalam aktiviti berkenaan selepas salah seorang individu dikenali menawarkan peluang berjudi dalam talian tanpa membelanjakan wang
“Mungkin pada peringkat awal anak saya diberikan habuan tertentu hingga dia menjadi gian untuk berjudi serta tidak menyedari ia sebenarnya perangkap sindiket berkenaan.
“Selepas tempoh tertentu, anak saya didakwa kalah dalam perjudian hingga mengalami kerugian dan perlu membuat pembayaran atau hutang berlipat kali ganda keseluruhannya bernilai RM4 juta,” katanya.
Kata laporan itu, Wong berkata, along berkenaan menggunakan pelbagai strategi bagi mengutip hutang berkenaan termasuk mengganggu operasi kedai memborong sayur di Jalan Syahbandar, Taman Tun Aminah selain selain gerai menjual sayur di Pasar Borong Pandan di Johor Bahru.
Menurutnya, kejadian seumpama itu berulang hampir enam hingga tujuh kali walaupun anaknya sudah melangsaikan bayaran sejumlah RM675,000 kepada sindiket berkenaan.
Katanya, pada 5 Ogos lalu, sekumpulan lelaki yang memegang sepanduk mengandungi gambarnya dan dicatat ‘hutang wang bayar wang’ dan sengaja menimbulkan gangguan operasi kedainya di Pasar Borong Pandan.
“Mereka mempamerkan sepanduk berkenaan dan memainkan peralatan muzik Cina bagi menarik perhatian ramai.
“Malah sekumpulan lelaki juga menceroboh kedai memborong sayur milik keluarga kami pada 16 Ogos hingga dia terpaksa menyembur alat pemadam api bagi mengusir mereka.
“Mereka ugut mahu menghukum kami sekeluarga sekiranya gagal melunaskan tunggakan hutang. Along itu juga mengugut mahu bunuh anak bongsu saya sehingga dia menghilangkan diri dan kini kami menjadi mangsa walaupun tidak pernah meminjam satu sen pun,” katanya yang membuat beberapa laporan polis berhubung kejadian itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU) Asisten Komisioner Rupeah Abd Wahid berkata, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.
“Siasatan masih dijalankan untuk kesan saspek,” katanya ketika dihubungi.
Leave a Reply