UMNO pernah buat ketetapan ‘hukum’ pemimpin ada kes mahkamah, kata Annuar

AHLI Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa mendedahkan, bahawa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pernah membuat ketetapan untuk menggantung jawatan pemimpin parti itu jika menghadapi pendakwaan kes di mahkamah.

“Keputusan itu dilakukan oleh pimpinan tertinggi parti tersebut ketika Datuk Seri Najib Tun Razak dipilih sebagai Presiden UMNO dan baharu dilantik menjadi Perdana Menteri menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2009.

“Perhimpunan Agung UMNO (PAU) tidak pernah buat keputusan itu kecuali pada tahun 2009, MKT ada buat keputusan sewaktu Najib baru mengambil alih (menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO).

“Ada satu ketetapan dibuat iaitu kalau ada (pemimpin) didakwa di mahkamah kena digantung dari jawatan masing-masing.

“Namun, ketika ini MKT UMNO tidak kuatkuasakan perkara berikut. Saya sebagai anggota akan mematuhi parti. Hal dasar ini diputuskan oleh MKT dan PAU,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, hari ini.

Dewan Ulama Pas sebelum ini mencadangkan kerajaan melarang mana-mana individu yang sedang berdepan perbicaraan mahkamah berhubung kes salah laku, penyelewengan dan rasuah bertanding dalam pilihan raya umum (PRU).

Menurut Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yahaya, usul itu bertujuan mengelakkan mereka yang terpalit kes mahkamah menggunakan kedudukan mereka daripada dikenakan tindakan.

Ahmad juga menyarankan mereka yang pernah mengeluarkan kenyataan menggugat keharmonian negara tidak dibenarkan bertanding.

Dalam pada itu Annuar yang merupakan bekas Setiausaha Agung UMNO berkata, pihaknya tidak mengetahui secara terperinci sekiranya ketetapan itu masih terpakai di peringkat parti.

Kata beliau, penguatkuasaan peraturan itu perlu diajukan kepada pimpinan tertinggi UMNO yang diketuai oleh Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Memang ada keputusan itu pada 2009. Ini sudah tahun 2022 dan untuk menjawab perkara itu, saya tiada suara mahupun kuasa.

“Tidak wajar untuk saya komen. Saya sebagai bekas Setiausaha Agung tiada kuasa. Saya hanya ‘bekas’, elok dirujuk kepada penjawat jawatan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *