KENYATAAN Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengaitkan rasuah dengan golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera tidak perlu lagi diperdebatkan.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ini kerana jenayah rasuah kini sudah menjadi agak berleluasa di negara ini dan ia berlaku kepada sesiapa sahaja sama ada orang Islam dan bukan Islam.
“Rasuah sudah agak berlaku berleluasa. Orang yang bukan Islam pun ada melakukan rasuah, yang Islam (pun) melakukan rasuah.
“Saya fikir tidak harus apa orang kata kita debatkan, (tetapi) apa yang ditinggal itulah yang sedang berlaku,” katanya selepas menghadiri Muktamar Tahunan Pas kali ke-68 di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut, Kedah, lapor BH Online.
Abdul Hadi sebelum ini dilapor berkata, usaha menangani penyakit rasuah wajib dilakukan secara holistik supaya tidak menjadi wabak apabila diambil tindakan yang tidak menyeluruh sehingga ke akar umbi, khususnya terhadap mereka yang menjadi punca rasuah kerana mengejar harta secara haram.
Ahli Parlimen Marang itu juga berkata, golongan yang paling besar merosakkan politik dan ekonomi negara, majoritinya daripada kalangan bukan Islam dan bukan Bumiputera.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, PN mengambil pendirian tegas dan berpendirian kuat untuk menentang salah guna kuasa, rasuah, penyelewengan dan pelbagai perkara lain yang sudah diputuskan sejak awal.
Sebelum ini media melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah membuka kertas siasatan terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang susulan kenyataannya yang mendakwa komuniti bukan Islam dan bukan Bumiputera adalah golongan paling banyak terbabit rasuah.
Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asisten Komisioner A. Skandaguru berkata, Abdul Hadi akan dipanggil ke Bukit Aman dalam masa terdekat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapi-apikan mana-mana golongan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Leave a Reply