Oleh BADLISHAH MAT
SETIAUSAHA Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyifatkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebagai ‘bapa’ kepada segala pilihan raya.
Beliau berkata, PRU-15 akan menyaksikan cabaran besar untuk parti itu menetapkan strategi dan hala tujunya.
Justeru katanya, Muktamar Tahunan Pas ke-68 yang berlangsung hari ini dan esok akan menjadi medan penting untuk parti itu mempersiapkan parti termasuk jenteranya.
“Muktamar Pas kali ini merupakan muktamar terakhir sebelum PRU-15 yang disifatkan sebagai bapa segala pilihan raya.
“Oleh itu semua perwakilan diminta mengambil kesempatan ini untuk memberi pandangan dan idea bagaimana membuat persiapan terutama strategi dan calon bagi mendapat sokongan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Muktamar Tahunan Pas Ke-68 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, Alor Setar, hari ini.
Turut hadir Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Chai.
Takiyuddin berkata, saranan itu demi mempertahankan kemenangan kerusi yang sedia ada dan tambah bilangan kerusi.
Namun katanya, persiapan dan strategi khusus berkaitan PRU-15 akan diperincikan oleh pimpinan parti selepas muktamar berkenaan.
“Apa pun juga arahan berkaitan persiapan strategi yang khusus akan kita perincikan apabila tiba masanya. Kita serahkan kepada parti,” katanya.
Katanya, Pas harus berada dalam keadaan bersedia untuk PRU-15 demi memenangkan parti termasuk mempertahankan kerajaan negeri di bawah pimpinannya di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
“Begitu juga, meskipun Pas dan PN masih berperanan dalam kerajaan Persekutuan, namun kita lihat ketidaktentuan hala tuju yang menentukan PN untuk mengkaji tentang masa depan kita terutama untuk hadapi PRU-15.
“Kita serahkan kepada pimpinan untuk menentukan kedudukan kita,” katanya.
Leave a Reply