Luluh hati ibu apabila gagal selamatkan dua anak rentung

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

LULUH hati seorang ibu apabila tidak berjaya menyelamatkan dua anaknya yang terperangkap dalam kebakaran sebelum rentung di Jalan Bunga Raya Besar, Kampung Dato Sulaiman Menteri, Johor Bahru, hari ini.

Menurut bapa mangsa, Muhammad Fikri, 20-an, isterinya, Nurul Ain Najihah, 20-an masuk ke rumah untuk menyelamatkan dua anaknya semasa kebakaran tetapi tidak berjaya kerana api sudah marak.

Menurutnya, isterinya cedera di bahagian kaki ketika cuba menyelamatkan anak-anaknya sebelum dibawa ke klinik untuk rawatan.

Muhammad Zafran Muhammad Fikri yang berusia 3 tahun dan Nurul Hawa Zafira Muhammad Fikri berumur 2 tahun rentung dalam kebakaran itu.

Dia berkata, kali terakhir berjumpa anak-anaknya itu pada sebelah pagi sebelum keluar bekerja di Kampung Melayu di Johor Bahru.

“Kedua-dua anak saya nampak okay sebelum saya mendapat panggilan telefon daripada isteri, memaklumkan kejadian itu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Dalam kejadian pada pukul 1.40 petang tadi, dua beradik tersebut rentung semasa tinggal berdua dalam rumah tersebut sementara Nurul Ain berada di rumah jiran semasa rumah mereka terbakar.

Sementara itu, datuk saudara kepada dua kanak-kanak tersebut terkilan kerana tida dapat menyelamatkan dua beradik itu.

Ismail Saad, 55, yang tinggal kira-kira lima meter dari rumah keluarga mangsa merupakan individu paling awal menyedari kejadian tersebut.

“Saya ada bau hangit, bila keluar dari rumah tengok ada asap tebal dari rumah mangsa. Saya redah masuk dalam rumah, tengok di dapur tak jumpa budak-budak ni, saya tarik selimut, tak ada, susah cari sebab tak nampak, keadaan gelap, api juga sudah marak.

“Saya memang cuba nak selamatkan mereka, tetapi tidak dapat, dah takdir. Saya tidak mendengar sebarang jeritan mangsa. Saya sedih apabila tidak berjaya menyelamatkan mereka sedangkan saya orang terawal yang menyedari kebakaran berlaku,” katanya ditemui di tempat kejadian.

Ismail berkata, dua beradik itu ditemui berada di tepi pintu bilik selepas api dipadamkan bomba dalam keadaan pintu yang tidak berkunci.

“Mereka memang selalu keluar masuk bilik. Lepas api padam, saya nampak mereka ada tepi pintu, mungkin cuba nak keluar. Kanak-kanak mungkin panik masa tu.

Dua beradik rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Jalan Bunga Raya Besar, Kampung Dato Sulaiman Menteri, Johor Bahru, hari ini

“Kali terakhir saya jumpa mereka pagi tadi, mereka ceria sahaja bermain macam selalu,” katanya dan memberitahu keluarga mangsa menyewa di situ hampir dua tahun dan sangat rapat dengan kedua-dua mangsa.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Lim Jit Huey berkata, dua beradik itu tinggal berdua dalam rumah ketika kebakaran berlaku.

Jelasnya, bapa mangsa keluar bekerja manakala ibu mereka berada di rumah jiran yang berada kira-kira lima meter dari lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati rumah ini dihuni suami isteri bersama dua anak, tetapi ketika kejadian, kanak-kanak hanya tinggal berdua sebelum dilaporkan terkorban,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, setakat ini, pihaknya masih menjalankan siasatan mengikut laporan mati mengejut (SDR), selain dibantu pihak bomba dalam menjalankan siasatan forensik kebakaran bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

“Kita juga tidak dapat memastikan sama ada kanak-kanak ini tidur ketika kejadian, siasatan masih dijalankan,” katanya dan jenazah kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru untuk siasatan lanjut.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *