Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
LIMA pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia diberkas dalam satu serbuan di kawasan pinggir hutan di Jalan Teluk Ramunia, Kota Tinggi, hari ini.
Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan memberitahu, kesemua PATI itu terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 25 hingga 43 tahun.
“Pada jam 7.45 pagi, tim Quick Reaction Force (QRF) telah mengesan pendaratan PATI tersebut yang sedang bersembunyi di pinggir hutan.
“Tim QRF berjaya menahan dua PATI yang tidak memiliki dokumen yang sah. Semasa penggeledahan, tim QRF menahan tiga lagi individu di lokasi berhampiran.
“Tim QRF mendapati ketiga-tiga individu tersebut merupakan warganegara Indonesia yang ingin kembali pulang ke Indonesia tanpa memiliki dokumen yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, ujian Covid-19 dilakukan ke atas mereka di Klinik Kesihatan Sungai Rengit, Batu Pahat pada jam 11.30 pagi dan hasil ujian saringan mendapati kesemua PATI berkenaan negatif.
Katanya, laporan kemudian dibuat di Balai Polis Bayu Damai dekat sini sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia di Setia Tropika, Kempas, Johor Bahru pada jam 2 petang.
Nilai keseluruhan rampasan katanya, dianggarkan berjumlah RM9,380 selain melibatkan mata wang Indonesia, Singapura dan China.
Pihaknya turut merampas tiga utas jam tangan termasuk tujuh buah telefon bimbit daripada pelbagai jenama.
“Pasukan meneruskan atur gerak pasukan QRF dan pasukan Dron ATM serta dibantu pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan,” ujarnya.
Leave a Reply