NAIB Presiden Argentina, Cristina Kirchner terselamat daripada maut apabila seorang lelaki tidak dikenali mengacukan pistol ke arah kepalanya malam semalam.
Lapor Al Jazeera, pistol itu bagaimanapun tidak meletup sekali gus menyelamatkan pemimpin berkenaan dalam kejadian yang kini tular.
Presiden Argentina, Alberto Fernandez berkata, Kirchner bernasib baik kerana pistol itu tidak meletup walaupun penyerang sudah menarik picu senjata berkenaan.
“Naib Presiden tidak cedera dan penyerang segera diberkas,” katanya dalam ucapan di televisyen.
Beberapa saluran televisyen menyiarkan rakaman lelaki itu mengacukan pistol ke kepala naib presiden dari jarak dekat ketika dia keluar dari kereta yang membawanya pulang ke Buenos Aires.
Menteri Keselamatan, Anibal Fernandez berkata,
polis akan membuka kertas siasatan.
“Sekarang, keadaan itu perlu dianalisis oleh penyiasat untuk menilai cap jari dan kecenderungan suspek ini,” katanya.
Suspek bagaimanapun tidak melepaskan tembakan.
Suspek menghampiri Kirchner dalam keadaan sesak orang ramai yang berkumpul di sekeliling ahli politik itu untuk berjabat tangan dan meminta tandatangan.
Media tempatan melaporkan suspek adalah warga Brazil.
Parti lawan Kirchner ‘Together for Change’ mengecam serangan itu.
“Saya menolak sekeras-keranya terhadap serangan dialami oleh Cristina Kirchner, yang bernasib baik tidak cedera. Perbuatan yang sangat serius ini memerlukan siasatan segera dan mendalam oleh pendakwa raya dan pasukan keselamatan,” kata Mauricio Macri, yang merupakan presiden dari 2015 hingga 2019.
Kirchner, 69, adalah presiden Senat dan menikmati imuniti parlimen.
Leave a Reply