CUBAAN 76 pendatang asing tanpa izin (Pati) Myanmar memasuki negara pada awal pagi dikesan anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) di pangkalan haram Guchil, Jeram Perdah, di Pasir Mas, hari ini.
Memetik laporan Harian Metro, Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, penahanan pada pukul 1.30 pagi itu membabitkan 62 lelaki dan 14 wanita yang masuk secara haram untuk bekerja dalam pelbagai sektor.
Katanya, anggota bertugas membuat intipan sebelum mendapati ada pergerakan secara berkumpulan melalui tebing Sungai Golok selama kira-kira 20 minit.
“Anggota kemudian mendekati kumpulan Pati berkenaan dan memperkenalkan diri sebagai pihak berkuasa sebelum mengarahkan mereka mengemukakan dokumen pengenalan diri.
“Hasil pemeriksaan, mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, manakala sebahagian daripadanya mengemukakan pasport tanpa butir perjalanan lengkap.
“Selain itu, pemeriksaan di sekitar kawasan kejadian turut menemui sebutir peluru kaliber sembilan milimeter (mm) yang bertulis ‘Thai Arms 9 mm’,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Muhamad Zaki berkata, peluru itu dirampas dan semua Pati kemudian dibawa balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, kes disiasat disiasat mengikut Seksyen 55E/ 6(1)(c) Akta Imigresen 1963 serta Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.
Menurutnya, Pati menyeberangi sungai dari negara jiran pada awal pagi bagi mengelak pihak berkuasa, namun anggota sentiasa peka dan bersiap siaga selama 24 jam.
Leave a Reply