DEWAN Ulama PAS mencadangkan kerajaan meminda undang-undang bagi melarang individu berdepan perbicaraan mahkamah dalam kes salah laku, penyelewengan dan rasuah daripada bertanding pilihan raya umum (PRU).
Memetik laporan Free Malaysia Today, Ketuanya, Ahmad Yahya membuat cadangan itu kerana bimbang mereka yang terpalit kes mahkamah akan menggunakan kedudukan sebagai wakil rakyat dan pemimpin selepas menang pilihan raya untuk “mengelak” dikenakan tindakan atas kesalahan itu.
“Mereka yang dalam perbicaraan mahkamah dalam kes salah laku, penyelewengan dan rasuah juga tidak wajar diberi peluang untuk bertanding kerana kita bimbang mereka akan menggunakan kedudukan untuk mengelak dikenakan tindakan.
“Dalam aspek ini, kita mengharapkan agar kes melibatkan rasuah dan salah laku pemimpin parti politik dapat disegerakan perbicaraannya di mahkamah supaya proses pembersihan pemimpin politik dapat dilakukan dengan efektif.
“Kita perlu mengangkat semula maruah demokrasi dalam negara selaras prinsip Islam,” katanya ketika ucaptama sempena Muktamar Dewan ulama PAS Pusat kali ke-61 di Dewan Serbaguna Guar Chempedak.
Kata laporan itu lagi, Yahya turut mencadangkan kepada kerajaan, individu yang pernah mengeluarkan kenyataan menggugat keharmonian negara dan mempertikaikan hak keistimewaan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan perlu digugurkan kelayakan bertanding pilihan raya.
Katanya, cadangan pindaan itu bagi memperkasa perkara berkaitan soal integriti calon dan parti politik yang bertanding pilihan raya bergerak ke arah kematangan demokrasi.
“Kita mengharapkan agar amalan demokrasi terus subur dan bersih daripada budaya rasuah dan salah laku sehingga akhirnya mengorbankan kepentingan rakyat,” katanya.
Cadangan itu menyusul keputusan Parlimen meluluskan pindaan Perlembagaan bagi menyediakan ruang peruntukan berkenaan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.
Yahya berkata, ulama juga mencadangkan kerajaan menggubal akta pendanaan politik bagi membanteras budaya politik wang dalam kalangan parti politik.
Beliau berkata, syarat mengetatkan kelayakan bertanding pilihan raya sama ada di peringkat DUN mahupun Parlimen juga perlu ditambah baik memandangkan peraturan sedia ada masih longgar.
“Syarat yang menggugurkan kelayakan seseorang menjadi calon adalah kesalahan bagi hukuman satu tahun ke atas serta denda melebihi RM2,000 atau seseorang itu telah mengisytiharkan kesetiaannya kepada negara lain. Perkara ini kelihatan masih longgar tidak sejajar dengan ketegasan yang dipamerkan dalam pindaan Perlembagaan tersebut,” katanya.
Pertahan konsep pengasingan kuasa
Sementara itu, Yahaya dalam laporan Harakahdaily dipetik sebagai berkata, konsep pengasingan kuasa antara eksekutif, judikatif dan legislatif hendaklah terus dipertahan bagi memastikan sistem keadilan di negara ini terus dijunjung.
Menurutnya, Dewan Ulamak mengharapkan agar kes-kes berprofil tinggi melibatkan ahli-ahli politik dan wakil rakyat dapat diadili di mahkamah dengan penuh kebebasan.
Katanya pendirian kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk tidak campur tangan urusan institusi kehakiman negara terutama kes berprofil tinggi wajar mendapat pujian tinggi.
“Baru-baru ini seorang bekas pemimpin negara telah disabitkan kesalahan tuduhan pecah amanah, menyalahguna kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC International Shn Bhd,” katanya pada ucapan dasar Muktamar Dewan Ulamak PAS kaki ke-61 hari ini.
Menurutnya Dewan Ulamak PAS Pusat berpendirian semua pihak perlu akur dan menerima keputusan penghakiman tersebut serta menjunjung prinsip kedaulatan undang undang yang terkandung dalam Rukun Negara.
Baru-baru ini Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atas dakwaan penyelewengan dana SRC.
Leave a Reply