Suami isteri maut, kereta terbabas

SEPASANG suami isteri meninggal dunia selepas kereta dinaiki terbabas ke bahu jalan di Kilometer (km) 292.4 Lebuhraya Utara-Selatan (LRUS) hala utara di Kampar, tengah malam tadi.

Pihak polis menerima maklumat daripada orang awam memaklumkan kejadian kemalangan pada pukul 12.34 tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, pemandu, Tsia Kwai Weng, 61, yang parah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk rawatan lanjut.

“Namun dimaklumkan meninggal dunia ketika menerima rawatan Unit Kecemasan hospital berkenaan, 5.40 pagi tadi.

“Sementara penumpang Hooi Lai Kwean, 53, maut di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihak Balai Bomba Penyelamat (BBP) Gopeng menerima panggilan pada pukul 12.02 tengah malam.

“Anggota mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas seterusnya menyerahkan mangsa yang cedera kepada pihak ambulans, manakala mangsa maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya, dengan operasi tamat pada 1.29 pagi.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *