PKR Johor mahu tanding 14 kerusi pada PRU-15

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

PARTI Keadilan Rakyat ( PKR) Johor akan bertanding 14 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Namun Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor, Rafizi Ramli tidak menolak lebih banyak kerusi disasarkan kerana negeri itu merupakan tumpuan Pakatan Harapan (PH) pada PRU-15.

Katanya, ini kerana jumlah kerusi Parlimen yang ditandingi tentu akan bertambah.

“Cuma saya tidak boleh umumkan di mana PKR hendak bertanding di Johor. Ini kerana agihan kerusi masih belum diputuskan.

“Ini akan dibincang terlebih dahulu dalam kalangan parti komponen PH. Rundingan kerusi di peringkat Pusat akan bermula pada Khamis.

“Rundingan kerusi di peringkat PH Pusat melibatkan kerusi ditinggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka selesai akhir September,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri ( MPN) Johor di Ibu Pejabat PKR Johor di Johor Bahru malam tadi.

Pada PRU-14, parti itu bertanding pada lapan kerusi parlimen dan menang enam daripadanya iaitu Tebrau, Pasir Gudang, Johor Bahru, Sekijang, Segamat, Batu Pahat dan Ledang.

Rafizi berkata, kerusi yang ditandingi parti komponen PH iaitu PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP pada PRU-14 akan kekal.

Jelasnya, rundingan cuma libatkan kerusi yang dahulunya ditandingi Bersatu.

“Proses rundingan kali ini jauh lebih mudah berbanding sewaktu PRU-14. Disebabkan itu, saya yakin rundingan kerusi akan selesai dalam tempoh sebulan. Menjelang akhir September, PH akan selesai agihan kerusi seluruh negara,” katanya.

Tambah Rafizi, rundingan kerusi turut mengambil kira soal kebolehmenangan setiap parti komponen PH di sesuatu kawasan.

“Contoh rekod menunjukkan PKR menang di Parlimen Batu Pahat. Ini membuktikan PKR sudah bertapak di situ sejak 2013 dan 2018 manakala di Parlimen Segamat dan Tebrau pula PKR merupakan parti pertama bukan daripada BN yang menang di kerusi itu.

“Soal calon ‘melompat’ itu soal lain daripada faktor kemenangan. Sebab itu rundingan berdasarkan kekuatan dan potensi parti untuk menang bukannya individu,” katanya.

Seramai tiga Ahli Parlimen PKR di Johor beralih arah menyertai Bersatu dan menyokong Perikatan Nasional (PN) iaitu Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Seri Dr R. Santhara Kumar (Segamat) dan Steven Choong (Tebrau).

Pada November tahun lalu, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik menyertai PKR.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *