TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas melalui Perikatan Nasional (PN) tidak takut untuk menghadapi PRU-15 dan bersedia berdepan apa jua situasi yang mendatang pada pilihan raya berkenaan.
Katanya, walaupun Pas terbuka jika ada sesiapa ingin berbincang dan berunding tetapi sedia bertempur dalam semua situasi jika itu menjadi pilihan.
“Kita terbuka jika (ada) orang ingin berbincang dan berunding (dan) kita sedia bertempur dalam semua situasi kalau sekiranya itu menjadi pilihan,’’ katanya ketika berucap merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas ke-63 di Alor Setar.
Tuan Ibrahim turut memaklumkan Pas sudah menubuhkan Jawatankuasa Perundingan kerusi di bawah PN dan perbincangan sudah dimulakan.
“Kita dah mula bincang, Alhamdulilah ruang perbincangan sangat mudah dan baik, muafakatnya sangat utuh, kita yakin boleh selesai dalam dua ke tiga kali sesi perundingan lagi selepas ini,” katanya.
Tuan Ibrahim turut mengulangu kenyataannya bahawa Pas tidak boleh mengenepikan Bersatu untuk menghadapi PRU-15.
Ia kerana tegas beliau, Bersatu melakukan pengorbanan besar untuk Pas terus menjadi kerajaan pada hari ini.
Sehubungan itu kata beliau, parti itu sudah memutuskan untuk terus memperkukuh gagasan PN sebagai platform bagi menghadapi PRU-15.
Bagaimanapun katanya, terdapat beberapa kerusi Parlimen yang perlu dibincangkan dengan parti lain yang tidak ekstrem bagi mengelak ia dimenangi Pakatan Harapan (PH).
“Keberadaan kita dalam kerajaan Persekutuan hasil daripada rakan-rakan kita (Bersatu) yang keluar daripada PH, kita sedar betapa besar perjuangan dan pengorbanan mereka. Sebab itu bagi kita, apa jua muafakat politik kita tidak boleh ketepikan rakan kita dari Bersatu, tanpa mereka UMNO pun tak mungkin duduk dalam kerajaan hari ini.
“Tak akan tiba-tiba menang jadi kerajaan, tiba-tiba nak ketepi rakan-rakan kita, kita kawan waktu susah senang dalam menghadapi situasi ini. Muafakat politik bukan sementara tapi menentukan hala tuju ke mana nak dibawa rakyat dan negara
“Pemuda Pas perlu siap sedia dalam apa pun situasi yang ada dan parti akan buat keputusan penting dalam bulan ini juga dan kita tak akan berganjak untuk memperkukuh PN sebagai platform hadapi PRU15,” katanya.
Leave a Reply