Vaksin kakitangan awam

Abdul Latiff sudah beri keterangan kepada polis

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad sudah memberikan keterangan berhubung laporan polis yang dibuatnya terhadap Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli.

“Susulan laporan polis yang dibuat terhadap Rafizi Ramli oleh pegawai saya pada 30 Ogos lalu, saya sudah didatangi pegawai polis pagi tadi, untuk diambil keterangan.

“Saya tegaskan bahawa Rafizi adalah seorang pembohong yang memfitnah dan mentohmah saya dan keluarga saya hanya semata-mata untuk kepentingan politik,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.

Kelmarin, Dr. Abdul Latiff dilaporkan membuat laporan polis terhadap Rafizi yang didakwa memfitnahnya dalam isu berkaitan projek kapal tempur pesisir (LCS).

Laporan polis itu dibuat pegawai khasnya, Sayed Ahmad Muizzuddin Al Sayed Mohamad, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Rafizi didakwa menyiarkan empat kenyataan dan tohmahan pada 22, 25, 26 dan 29 Ogos lalu di blog dan menyiarkan semula di Facebook, Twitter dan Tiktok.

Fitnah Rafizi itu kononnya Dr. Abdul Latiff mempunyai isteri kedua bernama Zainab Mohd. Salleh yang mendapat kontrak jutaan ringgit dengan Kementerian Pertahanan untuk projek LCS.

Semalam pula, polis dilaporkan akan memanggil Rafizi untuk dirakam keterangan susulan laporan polis dibuat terhadapnya berkaitan dakwaannya mengenai projek LCS membabitkan Dr. Abdul Latiff.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, dilaporkan berkata polis menerima laporan dibuat pegawai khas menteri berkenaan pada pukul 9.28 malam kelmarin.

Pada 22 Ogos lalu, Dr. Abdul Latiff yang juga bekas Timbalan Menteri Pertahanan dilaporkan menafikan wanita yang dikaitkan dalam siasatan projek LCS adalah isterinya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *