Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
DUA anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) direman empat hari bermula hari ini hingga 4 September depan kerana melakukan pemerasan terhadap orang awam.
Perintah reman terhadap anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Khalida Farhana Abu Bakar, di Johor Bahru hari ini.
Kedua-dua anggota berpangkat Koperal dan Lans Koperal yang berusia 32 dan 35 tahun itu ditahan reman untuk membantu siasatan berhubung kesalahan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan.
Terdahulu kedua-dua tertuduh sebelum itu tiba ke pekarangan mahkamah pada pukul 8.30 lagi lengkap berpakaian lokap berwarna ungu.
Sekiranya disabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak ketika dihubungi pemberita mengesahkan penahanan kedua-dua anggota berkenaan.
Kedua-dua anggota berkenaan memeras ugut seorang individu sebanyak RM200 dalam satu kejadian di Taman Kota Masai, Pasir Gudang pada pukul 9.40 malam Khamis lalu.
Seorang anggota berkenaan bertindak merempuh pagar kediaman rumah mangsa sebelum mengugut mangsa dan anak lelakinya.
Kedua-dua anggota berkenaan telah ditahan pada pukul 1.46 pagi semalam.
Leave a Reply