Warga emas sesak nafas sebelum maut semasa mendaki gunung

Oleh ABU UBAIDILLLAH RAHMAN

SEORANG lelaki warga emas mengalami sesak nafas sebelum maut semasa mendaki Gunung Pulai, Jalan Semangat, Kampung Sri Gunung Pulai, Kulai, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tok Beng Yeow berkata, semasa mendaki, mangsa, Chua Kok Wah, 62, mengalami sesak nafas dan jatuh pengsan semasa tiba di Kilometer 3.3 dari kaki gunung berkenaan.

“Mangsa kemudian dibawa turun ke kaki gunung sebelum pemeriksaan menpatinya sudah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Pegawai Bomba Kanan II Asmiza Zaini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada jam 10.11 pagi.

“Tujuh anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian. Pada awalnya mangsa pengsan sebelum dibawa turun ke pondok pengawal di kaki gunung oleh orang awam sebelum bomba sampai di lokasi,” katanya.

Beliau berkata, pihak bomba membuat pemeriksaan awal terhadap mangsa sebelum disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir.

Menurut Asmiza, mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi menyelamat tamat pada jam 12.34 tengah hari.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *