SEORANG wanita ditemukan meninggal dunia dipercayai terjatuh ke dalam parit setelah minum di sebuah restoran dekat rumahnya dalam kejadian di Jalan Kampung Bambangan berhampiran Restoran Gaya Utama, Inanam, Kota Kinabalu, awal pagi ini.
Memetik laporan Harian Metro, dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, mangsa dipercayai berusia 50-an itu ditemukan rakan yang keluar mencarinya di sekitar kawasan berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, siasatan awal mendapati mangsa minum bersama rakannya di sebuah restoran berhampiran.
Katanya, mangsa kemudiannya dikatakan berjalan seorang diri pulang ke rumahnya.
“Bimbang keselamatan mangsa yang mabuk, rakannya cuba menjejaki wanita itu sebelum menemuinya tidak sedarkan diri di dalam parit.
“Rakan mangsa menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan segera,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Kalsom berkata, pemeriksaan awal terhadap tubuh mangsa mendapati tidak ada sebarang kesan yang mencurigakan.
Katanya, setakat ini, siasatan masih dijalankan.
Leave a Reply