Perkeso kuatkuasa siling gaji baharu untuk caruman 1 Sept

KEMENTERIAN Sumber Manusia menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menguatkuasakan siling gaji baharu untuk maksud caruman mulai 1 Sept ini.

Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata dijangka 1.5 juta pekerja atau hampir 19 peratus daripada keseluruhan pencarum Perkeso di seluruh negara terlibat dalam peningkatan siling gaji itu yang merangkumi pekerja tempatan dan pekerja asing.

Beliau berkata peningkatan siling itu susulan pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) yang melibatkan peningkatan had siling gaji bagi maksud caruman daripada RM4,000 kepada RM5,000 sebulan.

Katanya langkah meningkatkan siling gaji itu akan menambah baik liputan keselamatan sosial Perkeso menerusi peningkatan kadar bayaran faedah sedia ada sehingga 25.3 peratus.

“Faedah tersebut adalah seperti Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), Faedah Orang Tanggungan (FOT), Pencen Penakat dan Pencen Ilat di bawah Akta 4 serta Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB) dan Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) di bawah Akta 800.

“Mulai September ini, amaun caruman yang akan terpakai bagi pekerja bergaji melebihi RM4,000 sebulan adalah seperti yang dinyatakan dalam Jadual Ketiga, Akta 4 dan Jadual Kedua, Akta 800. Bagi pekerja yang bergaji melebihi RM5,000 sebulan, amaun caruman adalah mengikut had siling gaji RM5,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohammed Azman berkata bayaran caruman hendaklah dibuat oleh majikan mengikut pindaan had siling gaji baharu bagi September ini dan seterusnya.

“Majikan diminta mencatatkan jumlah potongan caruman dalam penyata atau slip gaji pekerja masing-masing bagi tujuan rekod dan aktiviti pemeriksaan oleh Perkeso,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sejak penubuhan Perkeso pada 1971 hingga kini, peningkatan siling gaji telah dilaksanakan sebanyak lima kali.

Menurutnya langkah yang dilaksanakan itu sejajar dengan usaha berterusan agensi itu dalam menyediakan perlindungan sosial lebih komprehensif kepada pencarum dan orang tanggungannya.- BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *