Pemimpin korup adalah penjajah alaf baharu

Oleh ABU UBADILLAH RAHMAN

PEMIMPIN yang korup boleh dianggap sebagai penjajah alaf baharu hingga boleh mengakibatkan sesebuah negara rosak dan musnah.

Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Pasir Gudang, Murad Jailani berkata, mereka memenjarakan minda dan mengaburi rakyat dengan menabur sedikit imbuhan tetapi merompak seluruh kekayaan untuk diri serta kroni mereka.

Situasi ketika ini katanya, menunjukkan negara seperti ‘belum merdeka’ kerana masih terdapat segelintir pemimpin yang bukan sahja korup tetapi juga masih cuba mengongkong dan memenjara minda serta suara rakyat.

“Rakyat ditakutkan dengan pelbagai akta yang membataskan pandangan dan pendapat. Merdeka kita dapat rasakan apabila kebangkitan rakyat pada Mei 2018 dengan menghumban kerajaan Barisan Nasional (BN) yang merasakan mereka dapat lakukan sesuka hati mereka.

“Merdeka apabila suara rakyat berjaya membawa mereka yang merompak wang rakyat ke muka pengadilan dan menerima hukuman. Merdeka bila rakyat tahu kuasa melakukan perubahan untuk kesejahteraan dan kemakmuran negara berada di tangan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegas beliau, melakukan perubahan ke arah lebih baik untuk negara termasuk menolak pemimpin dan amalan korup merupakan antara pengisian kemerdekaan.

Kesedaran tersebut perlu ada dalam setiap minda rakyat supaya negara terselamat dan tidak hancur akibat rasuah, katanya.

“Rakyat Malaysia hari ini telah sedar bahawa mereka inginkan perubahan yang lebih baik untuk negara tercinta ini.

“Perubahan ke arah kebaikan demi masa depan anak cucu kita memerlukan sedikit pengorbanan. Apalah sangat hendak dibandingkan dengan pengorbanan datuk nenek kita menentang penjajah dan pengkhianat bangsa dan agama.

“Merdekakan minda, merdekakan diri daripada terus dibohongi oleh pemimpin-pemimpin yang korup. Kita mampu membuat perubahan demi negara kita yang tercinta,” katanya lagi.

Murad berkata, tanggal 31 Ogos merupakan hari bersejarah yang disambut cukup meriah oleh rakyat negara ini namun perlu disedari untuk mencapai kemerdekaan bukan sesuatu yang mudah.

“Sejarah membuktikan bahawa pejuangan untuk mencapai kemerdekaan ini memerlukan banyak pengorbanan. Sejak dari penjajahan Portugis, Belanda, British, Jepun dan British kembali banyak nyawa yang terkorban demi mempertahankan negara ini,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, rakyat harus sedar tanggungjawab mereka dalam mencorak perjalanan dan kejayaan negara ini.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *