Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SEORANG lelaki etnik Rohingya ditemukan lemas dihanyutkan arus semasa menyeberang Sungai Melayu di Kilometer 6.6 Jalan Ismail Sultan, Gelang Patah, Iskandar Puteri, hari ini.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Anayatullah Habi Rahman, 27, berjaya menemukan mayatnya pada pukul 7 petang tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Khairi Zainuddin berkata, sebelum itu Anayatullah yang berusia 27 tahun pergi menjala bersama-sama rakannya pada pukul 9 pagi.

Menurut Mohd Khairi, semasa menyeberang sungai untuk pulang ke rumah, mangsa hanyut dibawa arus dan hilang.
Pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada pukul 3 petang sebelum tujuh anggota dari BBP Iskandar Puteri dikejarkan ke tempat kejadian.
“Mayat Anayatullah ditemukan kira-kira pada pukul 7 petang. Mayat ditemukan tersangkut pada ranting-ranting dan kayu yang hanyut pada jarak kira-kira 15 meter dari kawasan dia dihanyutkan arus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Leave a Reply