POLIS akan memanggil Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam masa terdekat berhubung kenyataannya yang didakwa berunsur fitnah terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.
Memetik laporan Malaysiakini, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai mengesahkan menerima laporan yang dibuat malam tadi oleh pegawai khas Abdul Latiff berkenaan tulisan di blog Rafizi yang turut dikongsi di akaun Facebook dan Twitter miliknya.
“Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 500 KK (kesalahan memfitnah) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (menyebarkan kenyataan jelik).
“Penama Rafizi Ramli akan dipanggil dalam masa terdekat untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan,” katanya sebagaimana lapor Malaysiakini.
Rafizi dalam beberapa siri pendedahan sebelum ini mendakwa Abdul Latiff dan ahli keluarganya mendapat keuntungan daripada projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) bernilai RM6 bilion dan kontrak pertahanan lain semasa dia menjadi timbalan menteri pertahanan .
Rafizi juga menegaskan bahawa Abdul Latiff mempunyai seorang isteri bernama Zainab Mohd Salleh, yang didakwa terlibat dalam penyelewengan dana daripada projek kapal tersebut.
Dalam laporan polis yang dilihat Malaysiakini, pegawai khas Latiff, Sayed Ahmad Mu’izzuddin Al-Sayed Mohamad berkata Rafizi tetap mengulangi dakwaannya walaupun menteri berkenaan telah membuat penafian.
Sayed juga berkata Rafizi mengelirukan orang ramai dengan hanya merujuk draf laporan audit forensik untuk menyokong dakwaannya, sepertimana yang disebut Abdul Latiff.
Katanya, ia dilakukan dengan mengabaikan penafian yang terkandung dalam laporan berkenaan yang menyatakan juruaudit tidak dapat menentukan kesahihan dakwaan yang dibuat oleh individu yang terlibat dalam projek itu.
Pada 26 Ogos, Abdul Latiff berkata dia tidak mempunyai peranan dalam projek LCS dan keluarganya juga tidak mendapat sebarang kontrak pertahanan semasa dia menjadi timbalan menteri pertahanan dari tahun 2009 hingga 2013.
Dia juga menafikan mempunyai isteri atau bekas isteri bernama Zainab Mohd Salleh, dan sebarang perbuatan yang dilakukan individu berkenaan tiada kaitan dengan dirinya.
Leave a Reply