SEORANG remaja perempuan bawah umur dan teman lelakinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan menculik seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan pada 23 Ogos lalu.
Tertuduh yang berusia 14 tahun dan teman lelakinya, Muhammad Azrin Budimaeng,18, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd. Akit.
Mengikut pertuduhan, remaja itu dan Muhammad Azrin secara bersama melarikan seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan di sebuah rumah di No. 4, tingkat tiga, Blok 4, Pangsapuri Idaman Taman Pauh Perai di Bukit Mertajam kira-kira pukul 5.30 petang pada 23 Ogos lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Fatin Nabila Hussin.
Terdahulu, Fatin Nabila memohon mahkamah membenarkan jaminan untuk kedua-dua anak guamnya atas alasan mereka masih muda dan tidak memiliki sebarang rekod jenayah.
Mahkamah kemudiannya membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM5,000 beserta seorang penjamin.
Mahkamah turut menetapkan 3 Oktober depan bagi tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Sebelum ini, Polis Pulau Pinang menahan lima individu termasuk seorang remaja perempuan berumur 14 tahun bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan diculik dari rumah pengasuhnya di Bukit Tengah pada 23 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, suspek yang merupakan tiga lelaki dan dua wanita berumur antara 14 hingga 43 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di Machang Bubok dan di Kulim, Kedah pada hari sama.
Leave a Reply