Negaraku Malaysia,
Sudah lebih dua tahun anak bangsamu menempuh cabaran
Cabaran pandemik bersama
Ribuan yang hilang nyawa, jutaan yang sakit menderita
Pilu meniti hari-hari yang sengsara
Negaraku Malaysia,
Sesungguhnya ramai yang merasai kehilangan
Bukan sahaja hilang ahli keluarga, rakan dan taulan
Tetapi juga pekerjaan dan punca pendapatan
Pelbagai ikhtiar diusahakan kerajaan supaya beban rakyat diringankan
Pelbagai bantuan dihulurkan daripada wang tunai kepada bakul makanan
Daripada subsidi upah kepada monotorium pinjaman
Keprihatinan kita lazimkan melindungi nyawa rakyat dan ekonomi kita utamakan
Negaraku Malaysia,
Sememangnya derita pandemik berbeza-beza kita alami
Ada yang diuji bertubi-tubi
Namun kecekalan bangsa untuk bangkit
Berdiri membuat kita berjaya melangkah dengan berani
Beralih kepada fasa pra endemik hari ini
Negaraku Malaysia,
Marilah kita melihat ke hadapan
Membina bersama satu wawasan
Membentuk satu gagasan
Menyemarak proses pemulihan
Demi mencapai satu impian
Negaraku Malaysia,
Marilah kita terus bersama bergandingan
Yang jatuh kita bangkitkan
Yang maju kita julangkan
Yang usang kita modenkan
Yang punah kita pulihkan
Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim,
Aku menadah tangan merendah diri
Memohon kepadaMu
Pulihkan semangat anak bangsa Malaysia
Bangkitkan semangat kasih dan cinta kepada nusa dan bangsa
Eratkan talian persaudaraan antara kami semua
Rahmatilah segala usaha kami
Berkatilah segala pengorbanan kami
Agar Negaraku Malaysia kembali pulih
Dan mampu berdiri megah, bebas, merdeka dan jauh lebih baik dari sebelum ini
Amin Ya Raballaalamin kepadaMu kami semua berserah
Ikhlas Daripada saya Muhyiddin Yassin
Selamat Menyambut Hari Kebangsaan
Merdeka, Merdeka, Merdeka
Leave a Reply